Kedai makan, serbaneka di Kuala Lumpur boleh beroperasi hingga 2 pagi

Fareez Azman
September 13, 2020 19:06 MYT
Menurut Annuar, perubahan masa perniagaan dibuat bagi memberi peluang kepada peniaga di Kuala Lumpur yang sudah lama terjejas pendapatan mereka sejak PKP. - Gambar fail
Kedai makan dan kedai serbaneka di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan beroperasi sehingga pukul 2 pagi mulai Isnin.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat selari dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.
"Saya ada berbincang mengenai perkara ini dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi.
"Eloklah beri peluang kepada peniaga yang sudah lama terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tambah pendapatan mereka," katanya dalam sidang media hari ini.
DBKL sebelum ini memutuskan semua operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih dikekalkan sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan.
#Annuar Musa #DBKL #Kedai makan #Kedai Serbaneka #Kuala Lumpur #perniagaan #PKP #PKPP #Premis #Tan Sri Annuar Musa
;