Kedai makan rosak teruk dirempuh kereta
Bernama
Januari 25, 2013 18:48 MYT
Januari 25, 2013 18:48 MYT
Seorang pemilik kedai makan di Jalan Mahkota di sini kerugian hampir RM10,000 apabila sebuah kereta Toyota Innova milik Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diletakkan di tepi jalan, terpelanting merempuh kedainya selepas dilanggar sebuah kereta lain yang terbabas.
Dalam kejadian 3.30 pagi Jumaat itu, kedai berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu, rak menyimpan makanan serta peralatan lain.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai terbabas dan melanggar kereta JAS sebelum kereta (kereta JAS) itu terpelanting dan melanggar kedai.
"Pemandu kereta Proton Satria terbabit cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, identitinya masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu pemilik kedai tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Nor, 43, berkata dia dikejutkan dengan panggilan telefon rakannya kira-kira 3.30 pagi memaklumkan hal berkenaan.