Kedai makan, kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Bidor

Abd Razak Mohd Ali
Julai 8, 2022 16:40 MYT
Sebuah kedai makan dan sebuah kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Simpang 3, Jalan Bidor - Tapah, hari ini. - Foto JBPM
BIDOR: Sebuah kedai makan dan sebuah kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Simpang 3, Jalan Bidor - Tapah, dekat sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.52 petang.
Menurutnya, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai makan dan sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Kedua-dua kedai makan dan kereta musnah terbakar 80 peratus tetapi tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan tiga aliran 100 kaki pancutan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Selain daripada anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Tapah.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Azroisan Wahab tamat jam 3.04 petang.
#kebakaran #Kedai makan #kereta #Bidor #Kampung Simpang 3 #JBPM Perak
;