Kedai makan 24 jam beri peluang orang ramai bersahur
Shuhada Abdul Kadir
Mac 31, 2022 05:45 MYT
Mac 31, 2022 05:45 MYT
BANDAR HILIR: Orang ramai di Melaka menyambut baik keputusan kerajaan yang membenarkan kedai makan beroperasi semula selama 24 jam bermula hari ini.
Keputusan itu dianggap tepat pada masanya ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan beberapa hari lagi.
Kebenaran membuka semula premis beroperasi 24 jam membolehkan pelbagai pihak bersahur di kedai makan terutama bagi golongan pekerja shif malam.
Tinjauan di sekitar Bandar Hilir mendapati beberapa premis terutama restoran mamak telah memulakan semula operasi perniagaan mereka selama 24 jam.
Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, langkah kerajaan itu yang dianggap tepat pada masanya.
Seorang pekerja swasta, Helmi Lamwi, 49, berkata, kebenaran beroperasi semula selama 24 jam memudahkan dirinya untuk membeli makanan dan minuman pada awal pagi.
Ini kerana, dia, yang berasal dari Tengkera, sering bertugas pada shif malam.
"Ada kebaikannya kepada pekerja-pekerja dan yang sebagainya bila mana yang bekerja waktu malam ada tempat untuk minum, tapi Ramadan ini kita boleh, orang kata moreh, di waktu malam sebelum kita menunggu bersahur," katanya.
Bagi Khairul Azlan Bustamam, 45, ia memudahkan umat Islam yang tidak sempat pulang ke rumah, untuk bersahur di restoren atau kedai makan 24 jam.
"Itu satu benda yang baik untuk boleh dikatakan satu benda relevan untuk kita bersahur bersama kawan-kawan.
"Jadi kita boleh makan bersama-sama. Datang rumah pagi-pagi memang orang tak pegi kan, tapi untuk makan di luar bersama kawan-kawan insyaAllah baiklah, satu benda yang baiklah," katanya.
Bagi golongan bujang seperti Muhammad Afandi Salleh, 27, restoren atau kedai makan 24 jam sememangnya menjadi port untuknya dan rakan-rakan bersantai.
"Ada bagusnya sebab kadang-kadang kami orang bujang ini suka duduk sampai ke sahur, sekali jalan untuk sahur.
"Jadi keputusan kerajaan izinkan kedai makan beroperasi 24 jam bagus, senang untuk bersahur nanti," katanya.
Operasi kedai makan yang sebelum ini dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja kini mendapat kebenaran untuk dibuka dalam tempoh 24 jam selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had masa operasi premis makanan kini dimansuhkan dan pemilik boleh menjalankan operasi selama 24 jam mengikut syarat lesen operasi mereka.