Kedai Kopi Jalan Ampas imbau nostalgia filem Melayu lama
Bernama
Jun 21, 2024 11:20 MYT
Jun 21, 2024 11:20 MYT
CYBERJAYA: Minat terhadap filem Melayu lama memberi cetusan idea buat keluarga seni ini untuk membuka sebuah kedai kopi dengan konsep klasik, dipenuhi dengan koleksi pelbagai barangan termasuk antik berusia puluhan tahun.
Diberi nama Kedai Kopi Jalan Ampas, para pelanggan yang berkunjung ke sini seolah-olah melalui terowong masa, dengan alunan lagu lama serta dapat menatap wajah bintang-bintang filem era 1950-an hingga 1960-an termasuk Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Aziz Satar, Allahyarham Kuswadinata dan Allahyarham Ibrahim Pendek.
Lebih mencuri perhatian, enam naskhah asal surat khabar Gelanggang Film, milik syarikat penerbitan P Ramlee turut dipamerkan selain hiasan klasik lain seperti vespa, pemain piring hitam dan baju kebaya. Bertambah nostalgia, penggunaan pinggan mangkuk lama untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan.
Pengurus Kedai Kopi Jalan Ampas, Bea Rameshan, 36, berkata, semua barangan antik yang menghiasi kedai itu adalah sebahagian daripada koleksi peribadi bapanya yang juga sinematografi, Shah Faizul Ibrahim, 41, dan ibunya, Norhayati Datuk Ismail, 57, yang dikumpul sejak sekian lama.
"Semua idea dan konsep adalah sumbangan ibu bapa saya. Mereka juga sanggup berhabis duit sehingga ratusan ribu ringgit bagi mencari dan mengumpul barangan lama dan klasik dari beberapa negeri antaranya Kelantan.
"Tujuan utamanya adalah untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan filem Melayu lama, sekali gus memperkenalkannya kepada generasi hari ini yang kurang arif mengenai bintang-bintang filem legenda ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Bea atau nama sebenarnya Rabiatul Balqis Rameshan yang juga bekas peserta program realiti Pilih Kasih dan masih aktif berlakon, pemilihan nama kedai itu juga mempunyai nilai signifikannya tersendiri.
"Kita tahu Jalan Ampas adalah sebuah jalan berdekatan Balestier Road di Singapura yang pernah menempatkan Malay Film Productions milik Shaw Brothers, lokasi lahirnya pelbagai bintang legenda Melayu dan karya filem Melayu yang tidak boleh dilupakan.
Bea yang juga pelakon drama Rampas Cintaku berkata, perniagaan warisan keluarga itu yang terletak di RekaScape, Persiaran Apec, di sini, mula beroperasi sejak sembilan bulan lepas, dan dibuka pada setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Malah, Bea yang juga mempunyai syarikat produksi berkata, premis itu juga boleh memuatkan 30 hingga 40 pelanggan pada satu-satu masa dan menerima 100 hingga 200 pelanggan dalam sehari.
"Oleh kerana kawasan ini (Cyberjaya) tidak banyak kedai Melayu, kita rasa bertuah kerana Kedai Kopi Jalan Ampas tiba-tiba menjadi tular dalam tempoh sebulan beroperasi ... kita akui agak terkejut dan gementar kerana masih baharu dalam bidang ini dan tidak sangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan.
"Awalnya, kita akui sedikit lambat dalam penyediaan makanan akibat tidak cukup pekerja dan kerana itu juga kita tidak dapat beroperasi sehingga malam, namun kami tetap berusaha memperbaikinya (keadaan) dari semasa ke semasa," katanya yang sering mempromosikan perniagaannya itu di laman sosial Instagram dan TikTok @kedaikopijalanampas.
Selain kopi, tarikan utama Kedai Kopi Jalan Ampas adalah makanan yang menampilkan menu istimewa daripada air tangan ibunya seperti Laksa Johor, Roti Gelora, Mee Kari Sri Bulan, Nasi Minyak Getaran Jiwa, Kam Heong Chicken, Nasi Dagang Bunga dan Laksam.
"Awalnya, kedai ini berkonsepkan santai melalui penyediaan pelbagai jenis kopi dan roti bakar selain mengambil makanan daripada vendor terpilih kerana kita mengamalkan konsep dapur terbuka.
"Namun, selepas dua bulan beroperasi, ada permintaan pelanggan yang mahukan masakan panas terus dari dapur dan kerana itu kita mulakan dengan menu Nasi Lemak Gurindam Jiwa sebagai permulaan," katanya yang merancang untuk meluaskan perniagaannya di bandar itu, tidak lama lagi.
Menurut Bea, pihaknya juga menyajikan pelbagai minuman kopi yang dibancuh khas menggunakan gabungan kopi terpilih bagi menghasilkan aroma yang lebih istimewa selain jus buah-buahan.
- BERNAMA