Kedai kek dan roti guna logo Halal tamat tempoh diserbu
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2020 15:52 MYT
Oktober 9, 2020 15:52 MYT
TELUK INTAN: Sebuah premis menjual makanan serta sebuah kedai kek dan roti di sini diserbu pihak berkuasa selepas didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran.
Serbuan dilakukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Teluk Intan bersama-sama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selepas mendapat maklumat awam.
Menurut kenyataan KPDNHEP, pemeriksaan dilakukan lima anggota penguat kuasa dan tujuh pegawai JAIPk.
"Dalam serbuan pertama mendapati sebuah premis menjual makanan menggunakan logo Halal Malaysia, namun semakan awal mendapati tiada permohonan sijil halal dari premis berkenaan.
"Penyelia premis berkenaan, seorang wanita berusia 41 tahun memaklumkan premis itu beroperasi Januari lalu," kata kenyataan ituhari ini .
Menurutnya, pemeriksaan di premis kedua yang menjual kek dan roti mendapati sijil halal yang dimiliki sudah tamat tempoh.
"Pihak JAIPk memaklumkan terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytihar serta diragui status halal bahan itu," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP menyita beberapa dokumen, barangan dan logo halal di kedua-dua premis berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya memandang serius premis perniagaan yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau menggunakan apa-apa ungkapan halal di premis perniagaan mereka tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.
"Sekiranya tiada ia menjadi satu kesalahan dan melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
#Halal
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#KPDNHEP
#Jabatan Agama Islam Perak
#JAIPk
#kedai kek dan roti
#Teluk Intan