Kedai jual bahan bakeri di Sarawak dibenarkan beroperasi Rabu dan Jumaat

Astro Awani
April 21, 2020 19:16 MYT
premis-premis itu dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 petang.
Kedai dan premis menjual barangan keperluan membuat kuih di Sarawak dibenarkan beroperasi selama dua hari iaitu Rabu dan Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, premis-premis itu dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 petang.
Jelas Uggah, keputusan yang diputuskan jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat hari ini dalam usaha membantu perniagaan kecil dan sederhana (SME) dalam membuat persediaan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai.
"Bagi membolehkan suri rumah serta peniaga kecil dan serdahana membuat persediaan bagi membuat kuih-muih menjelang Gawai dan Hari Raya nanti, JPBN bersetuju untuk membenarkan kedai -kedai
menjual barangan plastik, aksesori dan bahan-bahan kuih dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Jumaat dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang," katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 di Sarawak pada Selasa.
Selain itu, Uggah menjelaskan, semua kedai dobi termasuk perkhidmatan dobi layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Katanya, ia bagi mengurangkan kesesakan pusat saringan dan pemeriksaan termasuk di Kompleks Belia dan Sukan Kuching.
Dalam pada itu, Uggah memberitahu, satu lagi pusat saringan dibuka di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan.
"Untuk membolehkan semua kasual kontak yang belum dikesan di bahagian Samarahan, kita memutuskan membuka tempat saringan di UNIMAS secara pandu lalu.
"Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan memantau kebajikan dan kesihatan lebih 100,000 pekerja asing di Sarawak. Langkah ini bagi memastikan kumpulan itu bebas COVID-19," katanya.
#bakeri #COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Douglas Uggah Embas #JPBN Sarawak #Kuching #Premis bakeri #Sarawak
;