Kedai di Kampung Masjid Iboi terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Julai 6, 2022 11:30 MYT
Keadaan kebakaran melibatkan sebuah kedai di Kampung Masjid Iboi, Baling, pada malam Selasa. - Foto Facebook/JBPM Kedah
BALING: Belum reda banjir seorang peniaga diuji sekali lagi apabila rumah kedai miliknya musnah terbakar di Kampung Masjid Iboi, Kupang di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima laporan pada jam 9.35 malam sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba api marak membakar keseluruhan rumah terbabit.
“Bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk memadam kebakaran berikutan tiada sumber air,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran memusnahkan lebih 80 peratus rumah kedai kelas A terbabit di mana pemiliknya antara mangsa kejadian berlaku kepala air yang melanda Isnin lalu.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#Kampung Masjid Iboi #rumah kedai #terbakar
;