Kedai buku, alat tulis, telekomunikasi dibenar beroperasi bermula esok

Astro Awani
Julai 15, 2021 21:04 MYT
Ismail Sabri berkata, kebenaran diberikan setelah mengambil kira maklumbalas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar bagi memastikan PdPR tidak terganggu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan kedai komputer serta telekomunikasi selain kedai buku dan alat tulis beroperasi sepanjang tempoh kawalan pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 16 Julai 2021.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran ini diberikan setelah mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) tidak terganggu.
"Selain itu, sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), atau ke kawasan PKPD, dengan syarat mendapat kebenaran PDRM bagi tujuan mengambil peperiksaan termasuk peperiksaan profesional," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menjelaskan, semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah
melaksanakan 80,339 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,029 orang.
Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,246 kilang; 15,682 premis perniagaan; 924 tapak pembinaan dan 326 asrama penempatan pekerja.
Dari jumlah itu, 180 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan serta SOP yang telah diwartakan," ujarnya.
#ismail sabri yaakob #Timbalan Perdana Menteri #kedai buku #alat tulis #komputer #telekomunikasi #PPN #dibenar beroperasi
;