Kedai barangan perkakasan musnah terbakar di Station 18
Aida Aziz
Disember 26, 2023 08:00 MYT
Disember 26, 2023 08:00 MYT
IPOH: Sebuah kedai barang perkakasan (hardware) musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Station 18, Pengkalan Pegoh, di sini, pada awal pagi Selasa.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kedai setingkat dengan keluasan 20 x 70 kaki persegi itu musnah 50 peratus.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam sekitar 1 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan dibantu BBP Simpang Pulai ke lokasi.
"Kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan mangsa dan pasukan bomba membuat kerja memadam api.
"Operasi menggunakan dua aliran 300 kaki dengan dua pancutan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai BBP Pasir Puteh, PKPgB Akmal Azizi itu tamat pada jam 3.30 pagi.