Kedah umum 25 April sebagai cuti kelepasan am gantian
Adie Sufian Zulkefli
April 12, 2017 17:18 MYT
April 12, 2017 17:18 MYT
Kerajaan Negeri Kedah hari ini mengumumkan 25 April ini sebagai hari kelepasan am gantian.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika mengumumkan keputusan itu berkata ia berikutan pertindihan cuti sambutan Israk dan Mikraj dengan hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang juga hari kelepasan am tambahan pada 24 April nanti.
“Exco sudahpun bersetuju supaya cuti umum pada 24 haribulan itu walaupun cuti itu adalah cuti negeri Kedah dan diganti pada 25 haribulan, maka 25 haribulan (April) di Kedah juga cuti kerana 24 haribulan itu memang cuti umum yang ada dalam kalendar cuti negeri kedah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Minggu lalu, kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengisytiharan hari kelepasan am tambahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember lalu menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang tamat tempoh pemerintahan baginda pada 12 Disember 2016.