"Kedah tidak gentar dengan tindakan mahkamah oleh P. Pinang" - Menteri Besar

Adie Sufian Zulkefli
Mac 25, 2021 21:09 MYT
Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak sepatutnya mencampuri urusan 'rumah tangga' Kedah. - Gambar fail BERNAMA
YAN: Kerajaan negeri tidak gentar untuk menghadapi sebarang tindakan mahkamah oleh kerajaan Pulau Pinang sebaliknya, akan terus menjaga kepentingan sumber air untuk rakyat Kedah.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak sepatutnya mencampuri urusan 'rumah tangga' Kedah.
Ini kerana, tegas Muhammad Sanusi, setiap projek yang dilaksanakan kerajaan negeri hanya berlaku di Kedah dan bukannya di negeri jiran itu.
“Kalau dia (Pulau Pinang) ambil tindakan mahkamah... kita pi (pergi) mahkamah. Hak dalam negeri Kedah, sungai-sungai kita, tanah-tanah kita, tebing-tebing kita… projek-projek kita, duit-duit kita anda jangan ganggu.
“Saya offer (tawar) banyak kali, saya jemput, tangan saya terbuka 24 jam boleh datang (berbincang),” tegas Muhammad Sanusi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri Kedah sekiranya Kedah melaksanakan projek yang boleh mengancam bekalan air di negeri ini.
BACA: P. Pinang pertimbang saman Kedah jika projek Sungai Muda ancam bekalan air
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan mengusulkan bantahan rasmi kepada kerajaan Persekutuan untuk dibahaskan di Parlimen berhubung projek yang dilaksanakan oleh Kedah
Menerusi laporan Astro AWANI pada Rabu, Kedah tidak pernah mengugut kerajaan Pulau Pinang yang mungkin terpaksa menggunakan 'air selut' sebaliknya, itu hanya amaran awal berikutannegeri itu dijangka melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) pada tahun ini.
Muhammad Sanusi, berkata terdapat 14 TAPS akan dibina untuk menakung air bagi menstabilkan paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.
Katanya, Kedah tidak melancarkan sebarang ‘peperangan’ dengan Pulau Pinang sekiranya negeri itu membayar caj air mentah seperti yang dinyatakan.
“Kalau dia (Pulau Pinang) bayar kita akan jaga kepentingan dia sebagai orang yang turut menyumbang kepada pengaliran air dari tadahan kita.
“Kita akan pertimbang kepentingan-kepentingan dia… saya hormat jiran-jiran saya, ada hak jiran kepada jiran (lain). Jiran juga ada untuk tumpang kita dan hak dia (juga) untuk tolong kita sama nak reserve (pulihara) kawasan hutan tadahan aliran sungai dan apabila ada kepentingan kita sendiri dia tak boleh kacau rumah tanga kita,” kata Muhammad Sanusi lagi.
Muhammad Sanusi menjelaskan, setiap kerajaan negeri akan bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di negeri terbabit.
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi berkata, sekiranya Pulau Pinang terjejas bekalan air, rakyat negeri itu perlu salahkan kerajaannya dan jangan sesekali meletakkan kesalahan kepada Kedah.
“Pulau Pinang yang degil untuk membayar caj air mentah jadi tanggung akibatnya,” ujarnya lagi.
Muhammad Sanusi ditemui media selepas melawat dan menyerahkan bantuan awal kepada rumah mangsa ribut di Kampung Sungai Kering, dekat Yan pada Khamis.
#isu air #Kedah #pulau pinang #Sungai Muda #kerajaan negeri #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #tindakah mahkamah #Kedah tidak gentar #caj air mentah
;