Kedah tetap harap P. Pinang bayar caj air mentah walau ada campur tangan Pusat

Abd Hadi Che Awang
Mac 31, 2021 15:46 MYT
Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah juga bersedia untuk mengambil kira kepentingan dan keperluan Pulau Pinang dari Sungai Muda sekiranya kerajaan negeri itu sedia untuk membayar caj air mentah yang dituntut. - Gambar fail BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menzahirkan harapan agar dapat menerima tuntutan caj bekalan air mentah daripada Pulau Pinang sekiranya wujud campur tangan daripada kerajaan Persekutuan khususnya dalam menyelesaikan kemelut yang membabitkan kedua-dua negeri itu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga bersedia untuk mengambil kira kepentingan dan keperluan Pulau Pinang dari Sungai Muda sekiranya kerajaan negeri itu sedia untuk membayar caj air mentah yang dituntut.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan tetap meneruskan rancangan untuk membina projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan baraj di Sungai Muda yang akan dilaksana tahun ini demi kepentingan penduduk di negeri Jelapang Padi.
"Kita akan teruskan apa rancangan yang kita ada di Kedah, kalau kerajaan (Pusat) campur tangan, saya harap campur tangan itu ke arah Pulau Pinang membayar harga air mentah kepada Kedah.
“Atas apa alasan sekalipun, TAPS dan baraj (akan dilaksanakan dalam) menstabilkan paras air, mengutamakan air untuk pertanian negeri Kedah, untuk bekalan minum rakyat Kedah, itu paling utama.
“(Namun) jika mereka (Pulau Pinang) sedia membayar, kita akan ambil kira kepentingan dan keperluan mereka daripada Sungai Muda, kalau mereka tidak bayar, kita anggap tidak ada orang di bawah itu," jelas Muhammad Sanusi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan perjanjian usaha sama antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn.Bhd bagi membangunkan Open Road International Circuit (ORIC) dan Integrates Resort (IR) Langkawi di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
BACA: "Sedut air selut bukan ugutan, cuma amaran awal," kata MB Kedah kepada Pulau Pinang
BACA: "Kedah tidak gentar dengan tindakan mahkamah oleh P. Pinang" - Menteri Besar
BACA: P. Pinang pertimbang saman Kedah jika projek Sungai Muda ancam bekalan air
Sebelum ini, pentadbiran Pulau Pinang menyarankan kerajaan Persekutuan untuk campur tangan bagi mengatasi kemelut air yang berlaku dengan jirannya, Kedah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya amat berharap agar kementerian terbabit dapat memainkan peranan yang sewajarnya demi menjaga kepentingan umum berhubung isu itu.
Kon Yew turut menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menggunakan 'air selut' jika enggan membayar caj air mentah kepada Kedah sebelum ini, sebagai tidak menghormati prinsip hak riparian.
#Kedah #pulau pinang #caj air mentah #kerajaan Persekutuan #pusat #Muhammad Sanusi Md Nor #Chow Kon Yeow #Menteri Besar #Ketua Menteri
;