Kedah tawar pinjaman tanpa faedah untuk pengusaha pelancongan, penghantar makanan

Bernama
Februari 10, 2021 05:24 MYT
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pinjaman maksimum RM5,000 bagi setiap pemohon itu turut ditawarkan kepada golongan penghantar makanan (rider) terpilih.
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menawarkan pinjaman mudah tanpa faedah kepada pengusaha pelancongan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19 sejak tahun lepas.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pinjaman maksimum RM5,000 bagi setiap pemohon itu turut ditawarkan kepada golongan penghantar makanan (rider) terpilih.
"Kita jangkakan seramai 400 individu akan memohon, tak semestinya kena ambil RM5,000, mereka boleh mohon kurang daripada jumlah itu cuma tak boleh lebih," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, pada Rabu.
Menurutnya pinjaman berkenaan akan diuruskan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dan bayaran tunai akan terus dikreditkan ke akaun pemohon yang berjaya.
Sementara itu, beliau berkata kelulusan bagi bantuan modal menerusi Tabung Khas Wanita (TKW) Negeri Kedah untuk semua pemohon yang layak sebanyak RM500 seorang juga akan dipercepatkan.
Beliau berkata bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dijangka 27 wanita boleh menerima bantuan menerusi tabung itu.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata dakwaan mengenai lebih 4,046 hektar (10,000 ekar) tanah bukit di Gunung Inas sudah ditanam dengan pokok durian, seperti yang tular dalam satu video baru-baru ini, adalah tidak benar.
Beliau berkata bagi kawasan di Gunung Inas, lebih kurang 5,000 hektar tanah diluluskan pada 2007 untuk dijadikan ladang hutan, yang sepatutnya ditanam dengan pokok seperti getah klon balak atau albasia.
"Daripada keluasan itu hanya 20 peratus (daripada 5,000 hektar) dibenarkan untuk ditanam dengan pokok durian," katanya.
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seorang lelaki mendakwa sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit di Gunung Inas sedang dibangunkan sebagai ladang durian, yang kononnya terbesar di dunia.
Muhammad Sanusi berkata pihaknya difahamkan bahawa ia adalah rakaman lama dan masih belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di sebalik penularan video tersebut.
-- BERNAMA
#Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #pelancongan #Kedah #kerajaan #usahawan #lelaki #COVID-19
;