Kedah sedia hadapi tindakan pihak cabar keputusan berkaitan lesen premis judi - MB

Bernama
November 18, 2021 15:11 MYT
Muhammad Sanusi berkata, mana-mana pihak berhak dan boleh mengambil tindakan mencabar keputusan kerajaan negeri. - Gambar fail
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan sekiranya ada pihak berhasrat memfailkan semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan negeri itu untuk tidak mengeluarkan lagi lesen premis perjudian.
Beliau berkata mana-mana pihak berhak dan boleh mengambil tindakan mencabar keputusan kerajaan negeri sekiranya merasakan ia melanggar undang-undang atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau mereka rasa saya nak tutup premis perjudian ini melanggar apa-apa undang-undang dia boleh cabar, pada pandangan saya langkah yang diambil ini berdasarkan undang-undang di negara ini. Kelantan dan Terengganu buat benda yang sama tidak ada tindakan undang-undang apa pun.
"Saya tidak menghalang mereka untuk ambil tindakan yang perlu untuk mereka pertahankan premis-premis perjudian, saya bersiap sedia kerana tindakan yang dibuat oleh kerajaan juga adalah berdasarkan undang-undang," katanya dalam sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Lesen Judi | Tiada lagi kelulusan baharu di Kedah
Beliau diminta mengulas mengenai hasrat pihak tertentu yang ingin memfailkan semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan negeri itu yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan menafikan hak orang bukan Islam.
Muhammad Sanusi berkata keputusan kerajaan negeri bukan bertujuan menafikan hak orang bukan Islam kerana aktiviti perjudian turut melibatkan orang Islam dan membawa kesan yang amat buruk dalam masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
Mengulas dakwaan bahawa langkah kerajaan negeri itu akan menyebabkan aktiviti perjudian tidak berlesen berleluasa di negeri ini, beliau berkata aktiviti perjudian berlesen perlu dihentikan terlebih dahulu dan isu perjudian tidak berlesen akan diatasi kemudian.
Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor, yang sebelum ini memberikan teguran selepas Menteri Besar Kedah itu dikatakan mengaitkan Pulau Pinang apabila meminta rakyat Kedah pergi ke negeri itu sekiranya ingin membeli nombor ekor.
Muhammad Sanusi berkata kenyataan itu bukan bermaksud untuk menggambarkan Pulau Pinang sebagai negeri yang menggalakkan perjudian, tetapi apabila Kedah tidak lagi membenarkan operasi premis perjudian, mana-mana individu di negeri ini yang ingin berjudi boleh ke negeri yang mempunyai premis perjudian yang beroperasi termasuk di Pulau Pinang.
"Itulah maksud saya, bukan saya nak menghina Pulau Pinang. Saya terima teguran Dr Wan Salim itu, beliau Mufti Pulau Pinang, saya rasa beliau patut nasihat Pulau Pinang untuk buat langkah yang sama macam Kedah buat," katanya.
-- BERNAMA
#Kedah #lesen judi #Muhammad Sanusi Md Nor #Menteri Besar