Kedah sasar pertambahan sekolah tahfiz, pondok berdaftar
Abdul Hadi Che Awang
Julai 15, 2020 13:02 MYT
Julai 15, 2020 13:02 MYT
Kerajaan negeri Kedah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAIK) akan berusaha untuk menambahkan bilangan institusi seperti sekolah agama rakyat, tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar secara sah di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman.
Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIK Hasbullah Md Mokhtar berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 daripada keseluruhan 74 institusi yang masih belum berdaftar, mendaftarkan institusi masing-masing menjelang hujung tahun ini.
Jelasnya, pihaknya akan bersama-sama membantu proses permohonan kelulusan operasi, khususnya dengan memberikan kelonggaran dari segi jumlah pelajar di satu-satu institusi, selain menyelesaikan beberapa masalah lain yang berbangkit.
"Kekangan itu ada beberapa faktor. Setelah kita buat kaji selidik, daripada yang belum daftar itu, kebanyakannya pelajar tidak mencukupi. Itu faktornya.
"Dan juga isu yang berkaitan dengan tanah dan keselamatan. Maknanya, bangunan itu mesti memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan bomba," kata Hasbullah di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad menyatakan, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan agar institusi yang belum mendaftar berbuat demikian bagi memudahkan prosedur mendapatkan maklumat terperinci mengenai situasi dan keadaan semua sekolah yang beroperasi di negeri ini.
Menurutnya, perkara terbabit bukan sahaja dapat memudahkan proses penyaluran bantuan yang diperuntukkan kerajaan negeri malah dapat memberikan tambahan maklumat yang lebih terperinci dan tepat jika sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Memang kerajaan menggalakkan untuk mendaftar, dan kita bagi maklumat kepada mereka bahawa, kemudahan-kemudahan selepas pendaftaran ini, dari sudut pemantauan dan juga dari segi bantuan, barangkali yang boleh kita usahakan untuk bantu mereka ini.
"Itu sebab kita galakkan mereka berdaftar. Dan yang ketiganya, dari segi kemudahan keselamatan dan sebagainya," kata Najmi.
Terdahulu, dalam lawatannya di Sekolah Agama Daris pada Rabu, Najmi menjelaskan, JHEAIK turut membenarkan 2,779 pelajar dari 74 institusi yang tidak berdaftar untuk memulakan sesi persekolahan hari ini.
Jumlah terbabit merupakan antara 195,929 pelajar Tahun 5, Tahun 6 serta pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 dan pelajar peralihan di Kedah yang memulakan persekolahan bagi sesi kedua bermula hari ini.
#daftar
#Hasbullah Md Mokhtar
#JHEAIK
#Kedah
#kelonggaran
#kelulusan
#Najmi Ahmad
#operasi
#permohonan
#pondok
#sekolah
#tahfiz