Kedah rekod 1,556 kematian akibat COVID-19 sejak Januari 2021

Bernama
September 22, 2021 12:55 MYT
Dr Mohd berkata kematian yang didaftarkan sepanjang tahun lalu pula tidak banyak sepertimana kematian direkodkan pada tahun ini. - Gambar fail
ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu, sebanyak 1,556 kematian akibat COVID-19 dicatatkan di negeri itu dalam tempoh Januari hingga 5 Sept lepas.
Exco Kesihatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata jumlah kematian tertinggi direkodkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dengan 504 kematian, diikuti Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (497) dan Hospital Kulim (335).
Menurut beliau hospital lain di negeri itu pula mencatatkan jumlah kematian tidak melebihi 100 orang.
Sementara itu, beliau berkata kematian yang didaftarkan sepanjang tahun lalu pula tidak banyak sepertimana kematian direkodkan pada tahun ini.
"Bagaimanapun, bilangan dan rekod kematian akibat COVID-19 pada 2020 sedang dalam pengemaskinian oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan akan dimaklumkan setelah data tersebut selesai," katanya.
Dr Mohd Hayati berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) yang ingin tahu jumlah kematian akibat COVID-19 sejak Januari hingga September tahun ini serta sistem sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada keluarga individu yang meninggal dunia akibat wabak itu.
Mengenai sokongan tersebut, beliau berkata kerajaan negeri membantu keluarga mangsa dari segi pengurusan pengebumian jenazah dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Pengurusan jenazah pesakit COVID-19 diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan pemantauan ketat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan," katanya.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan pula membantu dari segi sumbangan khairat kematian berjumlah RM5,000 seorang daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada keluarga yang kematian ahli keluarga disebabkan COVID-19.
Dr Mohd Hayati berkata permohonan berkenaan boleh dilakukan oleh ahli keluarga dan dihantar terus kepada NADMA untuk diproses.
"Bagi anak-anak yang kematian kedua ibu bapa akibat COVID-19 dan hilang punca pendapatan isi rumah, penjaga bagi kanak-kanak tersebut boleh berhubung dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) bagi mengetahui dengan lebih lanjut jenis bantuan yang bersesuaian untuk dipohon," katanya.
-- BERNAMA
#DUN Kedah #kematian di Kedah #Exco Kesihatan Kedah #COVID-19
;