Kedah pandang serius perbuatan khianat terhadap ikan
Sinar Harian
Mac 24, 2022 05:45 MYT
Mac 24, 2022 05:45 MYT
KULIM: Kerajaan negeri memandang serius kegiatan menangkap ikan air tawar secara haram termasuk penyalahgunaan senjata dan peralatan tidak dibenarkan.
Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin berkata, mana-mana individu yang dikesan melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Kaedah-kaedah Perikanan (Perikanan Sungai) 1990 dan Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).
Menurutnya, antara kaedah penangkapan ikan yang dilarang ialah penggunaan arus atau renjatan elektrik, bom ikan, menuba ikan atau menggunakan racun dan kaedah menembak ikan.
"Perbuatan khianat ini dilakukan oleh mereka yang nak dapatkan hasil dengan cepat tanpa ada rasa tanggungjawab, maka dengan penggunaan peralatan tidak dibenarkan telah merosakkan populasi ikan dan udang dalam sungai.
"Tindakan ini juga akan mengancam spesies ikan, menyebabkan kepupusan, kecacatan, kematian tragis (sehingga perut hancur) serta kerosakan ekosistem hidupan air tawar," katanya ketika hadir ke Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara di Kampung Tanjung Belit, Padang Serai di sini pada Khamis.
Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali dan Pengarah Perikanan Kedah, Sukri Deris.
Menurut Azman, terdapat tiga kes dilaporkan di Pedu menggunakan alatan larangan dan satu kes dikesan di Kampung Tanjung Belit, di sini membabitkan kegiatan menggunakan kaedah renjatan elektrik.
"Dari segi penguatkuasaan, kita mempunyai kekangan anggota dan berharap agar komuniti nelayan boleh bersama-sama membanteras kegiatan ini dengan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa," katanya.
Jelasnya, Jabatan Perikanan Malaysia memberi penekanan serius dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat.
Menurutnya, penggunaan alatan haram menangkap ikan turut meninggalkan kesan lebih parah kepada golongan nelayan yang berdepan kekurangan sumber sekali gus kemerosotan pendapatan.
Dalam majlis sama, Azman menjelaskan, sebanyak 100,000 benih udang galah telah dilepaskan dengan anggaran pulangan sebanyak RM480,000 yang mampu dijana mengikut pasaran semasa.
Katanya, usaha itu diharapkan dapat meningkatkan populasi hidupan air serta meningkatkan jaminan bekalan makanan negara.
"Sekiranya matlamat ini tercapai, pengeluaran ikan air tawar sudah pasti akan meningkat susulan peningkatan permintaan ikan air tawar di pasaran," katanya.
Mengikut rekod, beberapa siri pelepasan benih telah dilaksanakan di perairan Sungai Muda dari tahun 2009 sehingga tahun 2021 yang melibatkan 986,000 ekor benih ikan dan udang merangkumi tiga daerah iaitu daerah Baling, Kuala Muda dan Kulim.
*Berita asal di Sinar Harian