Kedah mahu kekal momentum kemasukan pelaburan dengan sasaran RM10 bilion setahun - Muhammad Sanusi

Bernama
Mac 20, 2022 07:06 MYT
Muhammad Sanusi berkata sasaran nilai pelaburan RM10 bilion itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan kawasan industri di Kedah menunjukkan perkembangan yang amat baik dalam menarik minat pelabur. - Gambar fail
ALOR SETAR: Kedah berazam mengekalkan momentum kemasukan pelaburan bagi menjadikannya sebuah negeri industri baharu di wilayah utara dan tidak bergantung kepada sektor pertanian semata-mata.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri menyasarkan nilai pelaburan pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya sekurang-kurangnya melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 billion setahun.
"Tahun lepas kita mencapai kemasukan pelaburan berjumlah RM68.3 bilion. Kita harap trend ini dikekalkan, mungkin tidak capai nilai RM60 bilion ke atas, tetapi sasaran RM10 bilion setahun itu kita harap dapat dikekalkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah yang disempurnakan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata sasaran nilai pelaburan RM10 bilion itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan kawasan industri di Kedah menunjukkan perkembangan yang amat baik dalam menarik minat pelabur.
Menurutnya, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang paling banyak menerima kemasukan pelaburan akan membuka fasa empat A dan fasa lima bagi menampung permintaan pelabur yang ingin menanam modal di kawasan perindustrian itu.
"Fasa empat A dan fasa lima (KHTP) ini sudah ada pelabur yang menyatakan minat untuk masuk dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) sedang berunding dengan beberapa pelabur bukan sahaja pelabur baharu tetapi pelabur sedia ada yang ingin memperluaskan kawasan industri mereka," katanya.
Selain itu, Muhammad Sanusi berkata anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Invest Sdn Bhd juga sedang meneliti cadangan daripada pihak swasta untuk membuka satu kawasan industri baharu berkeluasan 404.68 hektar di Gurun.
"Kita juga dapat lihat perkembangan yang sangat baik berlaku di Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai negeri kuasa industri yang baharu," katanya.
-- BERNAMA
#Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #Dewan Undangan Negeri Kedah #Sultan Kedah