Kedah lulus permit teroka mineral bernilai RM60 bilion

Adie Sufian Zulkefli
Disember 2, 2020 20:24 MYT
Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penerokaan itu membabitkan mineral jenis rare earth elements.
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM60 bilion.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penerokaan itu membabitkan mineral jenis ‘rare earth elements’ (REE) yang tidak beradioaktif Sik, Ulu Muda dan Baling.
Katanya, penggunaan REE kini sangat meluas bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar dan komputer riba.
"Kita meluluskan permit teroka kepada satu mineral baharu di Kedah dan mineral ini Allah anugerahkan tidak kepada semua negeri... ada sedikit di Perak ada banyak di Kedah.
"Kita juga telah meluluskan usaha sama sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melakukan penerokaan ini di sebuah kawasan di Sik (antaranya)," katanya pada pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata pihaknya memerlukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha merangka dasar bersesuaian agar kekayaan sumber asli itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri ini.
Katanya Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat dua bulan lepas juga sudah meluluskan satu rangka dasar mineral negara yang akan dimuktamadkan nanti.
"Saya yakin kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan merangka dasar yang sesuai dengan kehendak Majlis Tanah Negara.
"Ia supaya kita keadaan tidak lagi menjadi seperti sejarah lampau (apabila) semua hasil bumi... sumber asli kita diangkut untuk mempercepatkan Revolusi Industri di Perancis... di Britain... di Barat menggunakan sumber asli negara negara yang dijajah... akhirnya mereka menjadi kaya raya," katanya.
#Kedah #mineral #trilion #REE #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #rare earth elements #radioaktif #sik #ulu muda #Baling
;