Kedah, kerajaan Persekutuan kukuh jaminan bekalan makanan

Sinar Harian
Julai 9, 2023 14:44 MYT
Muhammad Sanusi (dua kiri) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (dua, kanan) menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club, di Alor Setar, pada Ahad. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan kerajaan negeri akan sentiasa bersama-sama kerajaan Persekutuan dalam agenda memperkukuhkan tahap keterjaminan dan keselamatan bekalan makanan negara khususnya dalam pengeluaran beras.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah yang digelar sebagai Jelapang Padi Negara kini menyumbang hampir 43 peratus kepada keperluan beras negara dengan pengeluaran beras di Negeri Kedah mencapai hampir 1 juta tan metrik secara tahunan.
Beliau berkata, sasaran Kedah untuk melaksanakan inisiatif penanaman padi lima kali dalam dua tahun dijangka dapat meningkatkan lagi pengeluaran padi sebanyak 25 peratus menjadi 1.25 juta tan metrik setahun tanpa perlu kepada perluasan kawasan tanaman baharu.
"Pelaksanaan ini dapat direalisasikan melalui penambahbaikan dari sudut infrastruktur pengairan dan saliran, penggunaan teknologi dalam pertanian, pengembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serta pemerkasaan modal insan petani muda.
"Selain membantu negara mengukuhkan keterjaminan makanan, inisiatif ini turut dijangka mampu memberi manfaat dari segi peningkatan pendapatan 56,000 pesawah di Kedah yang rata-ratanya adalah berpendapatan rendah," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya bersedia untuk bekerja sama dan berharap agar agenda ini dijadikan agenda nasional serta mendapat perhatian di bawah RMK12.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan cita-cita untuk meletakkan Kedah sebaris dengan negeri-negeri maju lain terutamanya yang berada di sekitar Lembah Klang.
"Kedah mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri maju yang lain.
"Alhamdulillah, cita-cita ini turut senada dengan perancangan yang terkandung di bawah RMK12 apabila Kerajaan Persekutuan telah menggariskan di bawah RMK12 komitmen untuk memberi tumpuan lebih kepada enam negeri kurang membangun salah satu daripadanya adalah Kedah," katanya.
Beliau memberitahu, Kedah sebenarnya telah menunjukkan peningkatan positif dari sudut ekonomi dan pelaburan jika dibandingkan dalam tempoh pelaksanaan RMK12 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang bermula sejak tahun 2021.
Menurut Muhammad Sanusi, dari segi pelaburan bermula tahun 2021 hingga suku tahun pertama 2023, Kedah berjaya meraih secara komulatif sebanyak RM 82.57 bilion dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan menjadikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pilihan teratas pelabur melabur di Malaysia.
"Dari sudut ekonomi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah bertumbuh secara positif pada kadar 3.2 peratus pada tahun 2021 dan meningkat kepada 7.2 peratus pada tahun 2022.
"Pertumbuhan ini menjadikan kedudukan Negeri Kedah dari sudut KDNK per kapita meningkat satu anak tangga dalam senarai perbandingan antara negeri-negeri lain pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Beliau menambah, pencapaian ini perlu dipertingkat ke tahap lebih baik di masa hadapan walaupun Kedah telah menunjukkan pencapaian pelaburan dan ekonomi memberangsangkan sejak dua tahun lepas.
Kata beliau lagi, ia memandangkan Kedah masih lagi berada pada peratusan rendah iaitu hanya pada kadar 3.4 peratus berbanding negeri-negeri maju lain jika dinilai dari sudut peratusan sumbangan Kedah kepada KDNK Malaysia.
Menurut beliau, Kedah berhasrat untuk meningkatkan peratusan sumbangan negeri kepada KDNK negara kepada peratusan yang lebih tinggi dengan sasaran sebanyak 10 peratus agar ia seimbang dan setaraf dengan negeri-negeri maju.
"Jadi, saya berharap cita-cita ini akan diberi sokongan oleh Kementerian Ekonomi dan Negeri Kedah terus diberi tumpuan yang lebih di bawah RMK12," katanya. -- Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #jaminan bekalan makanan #Kedah #Rafizi Ramli
;