Kedah cadang tutup sementara tapak perkhemahan, percutian
Adie Sufian Zulkefli
Disember 18, 2022 13:52 MYT
Disember 18, 2022 13:52 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mencadangkan semua tapak perkhemahan atau lokasi percutian yang berisiko ditutup sementara sepanjang musim tengkujuh susulan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul jumlah tempat terbabit untuk cadangan berkenaan sebelum diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Rabu ini.
"Bahagian pelancongan tengah kumpul jumlah tapak perkhemahan dan juga tempat percutian yang berisiko untuk dicadangkan ditutup sementara sepanjang musim tengkujuh ini.
"Saya akan angkat kertas cadangan ini kepada (mesyuarat) Exco untuk dapatkan keputusan Rabu ini dan Insya-Allah akan diadakan sidang media untuk pemakluman selepas mesyuarat itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Firdaus berkata, buat sementara ini, pihaknya menasihati mereka yang ingin bercuti agar mengambil pendekatan mengubah ke lokasi kurang berisiko atau berkunjung ke taman tema untuk beriadah bersama keluarga.
Sementara itu, pengusaha resort dan kem di tepi sungai di Kampung Perik, Padang Terap, Zambrose Abdullah, 50, berkata penutupan semua kem di negeri ini akan menjejaskan pengoperasiannya kerana telah ditempah pengunjung.
Katanya, dia telah bekerja keras untuk menggiatkan semula industri pelancongan, namun, kini terpaksa ditutup.
“Bukan semua tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi berisiko tinggi untuk berlaku bencana alam. Ada antara kami yang telah menggubal prosedur keselamatan yang betul untuk memastikan semua pengunjung selamat.
"Kami harap kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara ini sebab kami baru baru saja bernafas selepas pandemik COVID-19, penutupan serta-merta kem ini walaupun dalam tempoh yang singkat akan menjejaskan sumber pendapatan kami," katanya yang sudah 20 tahun terbabit dalam sektor pelancongan.