Kedah belum mampu beralih ke Fasa 2 PPN, penggunaan katil ICU masih tinggi - Exco

Abd Hadi Che Awang
Julai 13, 2021 22:02 MYT
Dr Mohd Hayati berkata, penggunaan katil ICU di Kedah ketika ini masih berada pada tahap melebihi 80 peratus. - Gambar fail
PENDANG: Kedah belum mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan tidak lagi mencapai nilai ambang yang ditetapkan kerajaan membabitkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, penggunaan katil ICU di Kedah ketika ini masih berada pada tahap melebihi 80 peratus.
Tambahnya, negeri itu sebelum ini telah memenuhi nilai ambang yang ditetapkan kerajaan dalam memasuki fasa dua PPN membabitkan dua indikator iaitu kadar pemberian vaksin serta jumlah kes harian baharu COVID-19.
"Dari segi peratus vaksin kita dah lebih apa yang telah digariskan dalam nilai ambang itu, cuma dari segi jumlah penggunaan katil ICU kita tak dapat mencapai bawah 80 peratus lagi.
"Kalau 60 hingga 80 peratus kita boleh capai nilai ambang yang fasa kedua (PPN), sekarang kita duduk (berada pada tahap) 80 peratus ke atas, jadi kita nak menurunkan jumlah penggunaan katil di ICU di hospital di negeri Kedah.
"Jangkaan (saya) kalau kes tidak banyak, kes tidak teruk, (pesakit COVID-19 pada) tahap 4 dan 5 berkurangan, itu boleh capailah (nilai ambang ditetapkan), sebab kadar vaksin sudah (capai), kes pun cuma Sungai Petani dengan Kulim sahaja yang (meningkat kebelakangan) ini," katanya.
Dr Hayati berkata demikian ketika ditemui media selepas program pengagihan bakul makanan Pakej PEMULIH Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Gajah Mati, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata peningkatan kes harian di negeri itu adalah berpunca daripada keputusan ujian saringan yang dilakukan secara menyeluruh di dua kawasan dalam daerah Kuala Muda yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Peningkatan kes pada hujung minggu lalu pula adalah keputusan hasil saringan ujian COVID-19 makmal swasta yang dikeluarkan pada hari Ahad selepas kakitangan makmal itu bercuti pada Jumaat dan Sabtu.
Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa kadar jangkitan COVID-19 membabitkan kakitangan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) terkawal dan jumlah jangkitan turut menurun.
#Kedah #Fasa 2 #PPN #nilai ambang #ICU #Exco #Dr Mohd Hayati Othman
;