KEDA peruntuk RM674,000 untuk projek SPIKE 2023

Bernama
Januari 14, 2024 04:20 MYT
Jamil Khir (enam, kanan) bergambar di hadapan rumah sampah selepas Majlis Peluncuran Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) di Dataran Dewan Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Alor Setar, 14 Jan 2024. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah membelanjakan sebanyak RM674,000 untuk Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) bagi tahun lepas.
Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata peruntukan itu membabitkan pembinaan rumah sampah, pembelian tong roro, pendedahan serta latihan kepada penduduk di 12 Desa KEDA setakat ini.
Beliau berkata projek dengan kerjasama Green Resources Sdn Bhd itu memberi peluang kepada warga Desa KEDA untuk mengurus sisa pepejal dengan lebih cekap dan selamat.
"KEDA mengambil tanggungjawab untuk melihat Desa KEDA ke arah global dalam bentuk kebersihan, maka kita buat tong sampah yang khusus, rumah pelupusan sampah yang lengkap dengan roro. Ia bukan tong biasa, roro ni tong besar yang boleh dibawa ke tempat pelupusan dan boleh dihantar balik.
"Kita kolaborasikan bersama dengan anak Syarikat E-Idaman (Green Resources Sdn Bhd) yang boleh juga melihat kepada (penggunaan) teknologi hijau (dalam pengurusan sisa pepejal)," katanya selepas Majlis Peluncuran SPIKE di Desa KEDA Seberang Paya Kerchut dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff dan Ketua Eksekutif Korporat Green Resources Sdn Bhd Muhammad Syafiq Zuki.
Jamil Khir berkata dianggarkan lebih 5,000 penduduk luar bandar khususnya di Desa KEDA menerima manfaat daripada projek itu dan pihaknya berharap ia terus mendapat kerjasama penuh daripada penduduk.
"Mereka tak perlu lagi buang sampah di merata-rata tempat seperti di tepi rumah, dalam sungai atau longgok di belakang rumah kerana dengan peluncuran SPIKE, mereka boleh buang sisa sampah ke rumah sampah disediakan.
"Penyediaan tong roro di rumah sampah juga akan menjadikan pengurusan sisa pepejal lebih cekap," katanya yang menyasarkan sebanyak 25 Desa KEDA lagi akan terlibat dalam projek itu.
Sementara itu, Pengerusi 4P Desa KEDA Seberang Paya Kerchut Che Mohd Desa Che Abu berkata projek itu amat dinanti-nantikan penduduk yang sudah jemu menggali lubang dan terpaksa membakar sampah mereka sebelum ini.
"Sebelum ini kami gali dan tanam sajalah, nak buang jauh jadi masalah juga, tapi bila ada projek SPIKE ini memang terbaiklah dan kami berterima kasih kepada KEDA.
"Sebelum ini, kalau nak buang (di tapak pelupusan) jauh dalam lima kilometer di Pekan Bukit Pinang dan bila ada projek sebegini ia memudahkan penduduk," katanya.
-- BERNAMA
#KEDA #spike #Projek Pengurusan Sisa Pepejal #Jamil Khir Baharom
;