Kecurian kabel di Stadium Perak: Polis sahkan tiada unsur sabotaj
Amirrul Rabbani
Februari 22, 2023 18:05 MYT
Februari 22, 2023 18:05 MYT
IPOH: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj berhubung insiden pecah masuk bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak pada minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata walau bagaimanapun siasatan berkenaan kejadian itu masih lagi diteruskan.
“Siasatan masih lagi diteruskan di mana pihak polis telah menghantar beberapa sampel barang kes ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
“Rakaman percakapan juga telah dilakukan terhadap beberapa saksi yang dipanggil.
“Selain itu pemeriksaan terhadap (semua) premis (yang menjual dan membeli) barang-barang lusuh turut dijalankan pihak polis untuk tindakan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Sebelum itu, media melaporkan kerja-kerja pembaikan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak yang dipecah masuk 14 Februari lalu, akan siap sepenuhnya malam ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata proses penggantian tersebut sedang dan masih dilaksanakan, selain sudah siap 70 peratus sehingga tengah hari ini.
Jumaat lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan mengalami kerugian kira-kira RM135,000 susulan insiden kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak seperti yang tular dalam media sosial.
Rumaizi berkata, kejadian itu disedari ketika MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari ini.