Kecurian di Litar Sepang: SIC dapat petunjuk baharu menerusi e-mel

Bernama
November 4, 2019 18:01 MYT
RAZLAN: Kita baru dapat sekurang-kurangnya dua petunjuk, yang bagusnya ada individu menulis kepada pusat khidmat pelanggan SIC mengenai petunjuk itu. - Gambar fail
Insiden kecurian di Litar Sepang semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia pada Jumaat lepas, mendapat petunjuk baharu melalui e-mel yang dihantar kepada pusat khidmat pelanggan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Tanpa mendedahkan petunjuk tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata maklumat itu sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
"Kita baru dapat sekurang-kurangnya dua petunjuk, yang bagusnya ada individu menulis kepada pusat khidmat pelanggan SIC mengenai petunjuk itu. Kita sudah serah kepada pihak polis," katanya ketika ditemui media di Litar Sepang, semalam.
Insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, antara 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan cuaca hujan lebat.
Antara paling terkesan dengan insiden tersebut ialah pasukan Angel Nieto Team, yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan tiga pekerja syarikat keselamatan ditahan polis awal pagi Ahad bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian peralatan bernilai lebih RM200,000 pada penganjuran GP Motosikal Malaysia, berakhir pada Ahad.
Menurut laporan itu, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ACP Zulkifli Adamsah berkata kejadian curi itu dilaporkan berlaku pada awal pagi Jumaat lalu dan kawasan itu adalah di bawah tanggungjawab syarikat keselamatan yang dilantik pihak SIC.
Dalam perkembangan sama, Razlan berkata selain insiden kecurian dan pelumba Piala Bakat Asia Idemitsu (IATC), Afridza Munandar meninggal dunia dalam perlumbaan sokongan Malaysia GP, penganjuran kejuaraan kali ini berjalan lancar.
"Kehadiran pengunjung memang sangat baik, ada peningkatan dan semua berjalan lancar. Namun dalam setiap penganjuran kejohanan, pasti akan ada ruang untuk diperbaiki.
"Seperti biasa, SIC akan tunggu maklum balas daripada bancian yang dilakukan SIC untuk kita lihat apa boleh diperbaiki," katanya.
-- BERNAMA
#kes curi #Litar Antarabangsa Sepang #Pusat Khidmat Pelanggan #Razlan Razali #SIC
;