Kecurian cip elektronik TM, lapor segera jika lihat aktiviti meragukan

Bernama
Januari 16, 2024 20:19 MYT
Azli berkata ia susulan tujuh laporan berhubung kehilangan cip elektronik pada peti tersebut di sekitar daerah itu, yang menyebabkan gangguan perkhidmatan di lokasi kejadian. - Gambar PDRM
KUANTAN: Polis memohon bantuan orang awam untuk segera membuat laporan jika melihat aktiviti meragukan di peti kabinet milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar daerah Lipis, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata ia susulan tujuh laporan berhubung kehilangan cip elektronik pada peti tersebut di sekitar daerah itu, yang menyebabkan gangguan perkhidmatan di lokasi kejadian.
"Kehilangan cip elektronik itu didakwa berlaku antara Disember tahun lepas dan awal bulan ini, dipercayai dilakukan antara 9 pagi hingga 5 petang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pengawai penyiasat Insp Amirul Aiman di 017-7093942 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di 09-3122222.
-- BERNAMA
#Telekom Malaysia #aktiviti meragukan #Pegawai Penyiasat #Gangguan Perkhidmatan
;