Kecoh! Lelaki misteri muncul di mahkamah ketika perbicaraan kes Najib berlangsung

Fareez Azman
Ogos 25, 2022 06:37 MYT
Selama lima minit, lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata mengenai Ahli Parlimen Pekan dan dirinya, hinggalah akhirnya dia dibawa keluar pihak polis. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pekarangan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berlaku kekecohan pada tengah hari Khamis apabila seorang lelaki misteri membuat bising di hadapan pengamal media.
Difahamkan, lelaki terbabit yang berpakaian kot berwarna hitam kotak-kotak itu pada mulanya menimbulkan kekecohan di lobi Mahkamah Tinggi di tingkat empat.
Bagaimanapun, lelaki misteri itu kemudiannya turun dan keluar dari Kompleks Mahkamah sebelum mula membuat bising di pintu masuk mahkamah.
Selama lima minit, lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata mengenai Ahli Parlimen Pekan dan dirinya, hinggalah akhirnya dia dibawa keluar pihak polis.
Bagaimanapun identiti lelaki tersebut tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, penyokong Najib, Datuk Seri Said Nazar Abu Bakar menafikan lelaki terbabit salah seorang daripada mereka.
"Kita tidak kenal dia. Sepanjang kami mengikuti kes Datuk Seri Najib selama empat tahun, ini kali pertama lelaki itu muncul
“Kita tidak tahu apa motif lelaki itu berbuat kecoh di sini. Dia buat bising di atas sebab itu kita suruh dia turun ke sini.
“Kita tidak pasti dia waras atau tidak, atau dia diupah oleh sesiapa. Kita tidak mahu disebabkan lelaki ini penyokong 'Bossku' akan dipandang serong. Jangan salah anggap," katanya kepada media.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 billion.
#lelaki misteri #kecoh #kompleks mahkamah kuala lumpur #Najib Razak