Kecoh himpunan 250 ekor 'oyen'

Bernama
Mei 20, 2024 10:00 MYT
Antara 250 pemilik kucing berwarna oren bergambar pada acara The Largest Orange Cats Gathering di Kompleks Gateway@Klia2. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kalau keletah seekor 'oyen' (gelaran manja kucing berbulu oren) pun sudah mampu 'menghuru-harakan' keadaan, cuba pula bayangkan apabila lebih 250 si bulus itu berhimpun di satu tempat.
Itulah 'kekecohan' yang berlaku ketika berlangsung program The Largest Orange Cats Gathering di Kompleks gateway@klia2 baru-baru ini apabila orang ramai terutama pencinta kucing begitu teruja menyaksikan gelagat kucing berbulu oren daripada pelbagai baka.
Antara yang paling mendapat perhatian adalah kucing jantan jenis American Short Hair campuran Persian bernama King Oyen. Si bulus ini begitu 'segak' dipakaikan Baju Melayu, bertanjak lengkap dengan kaca mata hitam dan tidak kekok beraksi di depan lensa kamera, bak peragawan profesional.
"King Oyen memang kucing yang mendengar kata dan faham apa yang saya cakap serta memang sukakan perhatian," kongsi pemilik si bulus, Sofea Salleh, 51, yang memelihara kucing itu sejak lima tahun lepas.
Menurut Sofea, nama King Oyen juga diberi oleh warganet selepas pelbagai aksi kucing kesayangannya itu tular di media sosial, antaranya disebabkan hobi dan lagak bersahaja kucing itu ketika membonceng basikal yang dikayuhnya.
"King Oyen akan stres (tertekan) dan buat perangai kalau tak dapat naik basikal. Nama asal yang saya bagi dulu Macho Kingsley, tapi sebab sifat lucu ni netizen beri gelaran oyen," katanya sambil berkongsi gelagat King Oyen juga membuahkan rezeki apabila dilantik menjadi duta satu jenama makanan kucing.
Himpunan itu turut memberi tuah kepada Hara yang dinobatkan sebagai juara pertandingan Garfield Look Alike dianjurkan menerusi program tersebut, sekali gus membolehkan pemiliknya, Adam Zailani, 26, pulang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Menurut Adam, ini adalah kali pertama dia menyertai acara sedemikian dan tidak menyangka kucing kampung (kucing tempatan) berusia empat tahun itu mampu mengenepikan lebih 200 pesaing bulus yang lain.
"Niat saya pada mulanya nak beri pendedahan dan bawa Hara jumpa 'kawan-kawan' (kucing oren lain) sahaja. Pertandingan ini bagus sebab selalunya hanya libatkan baka mahal, tapi acara ini berbeza," katanya yang mula memelihara kucingnya selepas diserahkan oleh rakannya.
Program The Largest Orange Cats Gathering itu dianjurkan oleh pusat beli-belah gateway@klia2 sempena ulang tahun ke-10 dan pelancaran filem The Garfield Movie yang bakal ditayangkan hujung bulan ini. Program itu turut mendapat kerjasama Kelab Kucing Malaysia.
Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata, program berkenaan juga bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat lanjut kepada pemilik kucing dan orang ramai mengenai penjagaan haiwan peliharaan mereka.
"Kucing oren atau selalu digelar Oyen ni lebih istimewa, selalu dicop nakal dan sering dapat perhatian terutama di Internet sekarang, Jadi kita cipta kelainan daripada program-program yang pernah dianjurkan sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
#The Largest Orange Cats Gathering #KLIA2 #kucing #Oyen
;