Kecilkan saiz penjawat awam: Jika ada pertindihan, mengapa tidak? - Najib
Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2019 21:47 MYT
Mac 12, 2019 21:47 MYT
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan perlu ada kajian terperinci sebelum sebarang pengecilan saiz kakitangan awam dilaksanakan.
Tegasnya, tindakan itu tidak boleh hanya bergantung kepada retorik sebaliknya perlu analisis dan kajian.
“Jika anda membuat analisis terperinci, penjawat awam kita tidak seramai seperti apa yang beliau (Dr Mahathir) maksudkan.
“Tapi jika ada ruang untuk mengurangkan pertindihan tugas, mengapa tidak (untuk kecilkan jumlah penjawat awam). Malah jika ada organisasi yang boleh dikecilkan, mengapa tidak (dilaksanakan).
“Namun, ia perlu perbandingan yang betul untuk mengetahui jumlah paling ideal penjawat awam di negara ini supaya kita tidak terpengaruh dengan retorik,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.
Ditanya berkenaan cadangan penswastaan beberapa agensi kerajaan, Najib berkata ia bukanlah jalan terbaik dalam menangani isu ini.
Ia apabila Najib mengambil contoh Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang sebelum ini telah diswastakan dan kemudian terpaksa dibeli semula oleh Kerajaan dengan nilai RM1.6 bilion.
#bekas perdana menteri
#cadangan penswastaan
#kakitangan awam
#Kecilkan penjawat awam
#Malaysia Airlines Berhad
#Najib Tun Razak