Kecewa dengan keputusan PRU, Najib mohon maaf sebelum keluar bercuti

Mariah Ahmad, Firdaus Azil
Mei 12, 2018 08:12 MYT
NAJIB: Saya minta maaf atas sebarang kelemahan dan kesilapan, dan terima kasih rakyat Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk memimpin negara hebat kita ini. --fotoBERNAMA / Fail
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil keputusan untuk bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
Dalam satu catatan di Twitter miliknya hari ini, beliau berkata BN komited untuk membantu proses peralihan kuasa seperti yang dinyatakannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
"Selepas empat puluh tahun dalam arena politik dan berdasarkan kempen pilihan raya baru-baru ini yang dilihat merupakan satu detik penting dalam sejarah Malaysia, saya membuat keputusan untuk bercuti untuk tempoh yang pendek dan meluangkan masa bersama keluarga.
“BN hormati kehendak rakyat dan akan membantu untuk memudahkan proses peralihan kuasa.
"Apa yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya sentiasa menjadi keutamaan saya. Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dengan kapasiti yang ada," kata Najib.
BACA: TERKINI! Sumber: Bekas pemimpin Malaysia akan terbang ke Indonesia
Keputusan PRU14 menyaksikan sejarah baharu terlakar apabila Pakatan Harapan (Harapan) berjaya memperoleh majoriti mudah melalui kemenangan di 113 kerusi Parlimen.
Ia sekaligus membolehkan Harapan menerajui mandat pemerintahan negara buat pertama kali selepas 60 tahun diperintah BN.
Manakala, hasrat BN untuk mengekalkan pentadbiran negara tidak kesampaian apabila hanya mampu menang di 79 kerusi Parlimen.
Berdasarkan pemilihan rakyat pada 9 Mei lalu, Najib menerusi Twitter beliau memohon maaf kepada penyokong BN dan rakyat Malaysia.
“Saya berdoa selepas keadaan berpecah belah ini, negara akan bersatu.
"Saya minta maaf atas sebarang kelemahan dan kesilapan, dan terima kasih rakyat Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk memimpin negara hebat kita ini.
"Ia merupakan satu pencapaian dan kebanggaan bagi diri saya untuk berkhidmat untuk anda dan Malaysia," tambah Najib.

After over four decades in politics and the recent election campaign, which was regrettably personal and perhaps the most intense in Malaysian history, I will take a short break to spend time with my family whom I have not seen enough of in recent years.

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) May 11, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Barisan Nasional #Najib Razak
;