Kecewa 10,000 gagal hadir vaksinasi di Kelantan: "Bakpo tokse vaksin?" - Misha Omar
Harits Asyraf Hasnan
Mei 28, 2021 14:09 MYT
Mei 28, 2021 14:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kecewa, itu reaksi awal penyanyi terkemuka negara, Misha Omar apabila membaca laporan berkenaan sejumlah besar individu yang tidak hadir proses vaksinasi COVID-19.
Malah, Misha turut terkejut apabila penduduk di negeri kelahirannya, Kelantan merekodkan jumlah ketidakhadiran yang tinggi.
"Mereka ini sudah mendaftar dan berjaya mendapatkan tarikh temu janji, tetapi tidak pergi cucuk. Individu yang nak sangat-sangat vaksin ini, tapi tak dapat.
"Kami (yang tidak dapat temu janji) ini lagi sedih, bagi la dekat kami. Betul tak? Ini satu perkara yang mendukacitakan.
"Lagi satu perkara, saya rasa terlalu banyak orang yang tidak berilmu menyebarkan perkara-perkara yang menakut-nakutkan mereka.
"Golongan ini pandai, tidak berilmu dan mereka sasarkan kepada orang yang tidak berilmu juga," katanya kepada Astro AWANI.
Misha pada masa sama turut menggesa anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang mungkin khuatir atau was-was dengan vaksin, untuk secara berterusan menyampaikan penerangan dan pendidikan kepada ibu bapa mereka.
"Mana-mana anak yang duduk di luar Kelantan, tolong telefon ibu bapa mereka hari-hari, tanya khabar mereka dan sebagainya.
"Tanya juga kenapa tidak mahu divaksin, ceritakan kebaikan vaksin kepada mereka sebab mereka ini berisiko terutama yang berusia 50 tahun ke atas.
"Virus ini memang tidak kira muda atau tua, tetapi warga emas ini yang paling kita hendak lindungi," kata penyanyi yang sangat popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta dan Tanpa Rela itu lagi.
Jelasnya, mesej positif serta pendidikan yang berterusan amat penting untuk memastikan unsur negatif yang mencetuskan kegentaran terhadap vaksin dapat dikekang.
Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa di enam buah negeri mendedahkan ribuan penduduk mereka enggan hadir untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan pelbagai alasan.
Antara negeri yang merekodkan ketidakhadiran yang tinggi adalah Kelantan (10,000), Negeri Sembilan (6,323), Perak (9,000), Kedah (10,827), Perlis (3,000), Melaka (3,612) dan Pahang (10,000).
#COVID-19
#vaksin
#pendidikan
#penerangan vaksin
#penjelasan vaksin
#galak ibu bapa vaksin
#warga emas
#suntikan
#Misha Omar
#jom cucuk vaksin