Kecerdasan Buatan: Malaysia sasar wujudkan 500,000 pekerjaan baharu menjelang 2025
Astro Awani
Oktober 10, 2024 14:00 MYT
Oktober 10, 2024 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) merangkumi pelbagai sektor, dalam enam tahun akan datang.
Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia, Datuk P. Sri Ganes memberitahu, peralihan dalam corak pekerjaan berasaskan AI itu memerlukan kemahiran serta kapasiti latihan yang baharu serta bersesuaian.
"Dalam konteks global pula, teknologi AI dijangka mengambil alih atau menggantikan 85 juta pekerjaan, tetapi pada masa sama ia bakal mengubah landskap pelbagai industri dengan mewujudkan 97 juta pekerjaan baharu.
"Justeru pembangunan bakat tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif serta pemain utama dalam AI perlu menjadi keutamaan," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program pensijilan komprehensif yang pertama di negara ini kerjasama Amerika Syarikat, merangkumi pembangunan kepimpinan, kejuruteraan, dan sains AI.
Majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo itu turut dihadiri lebih 200 pemain industri serta pakar AI daripada universiti-univeersiti tempatan.
Menurut Sri Ganes kerjasama menerusi SG TVET Group Berhad dan United States Artificial Intelligence Institute (USAII) itu adalah dalam usaha memacu ketersediaan AI di Malaysia.
Sri Ganes yang juga Pengerusi SG TVET Group Berhad memberitahu, menerusi program itu 10 syarikat terkemuka di negara ini turut menawarkan jaminan penempatan kepada pelajar selepas tamat pengajian.
Beliau memberitahu, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan kecerdasan buatan dimantapkan lagi melalui kerjasama itu.
"Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi digital negara dengan memupuk kepakaran AI serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, selain menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap AI global," katanya lagi.
Menjelaskannya, Sri Ganes memberitahu, program Pensijilan Kejuruteraan AI menawarkan pensijilan berganda iaitu yang dikeluarkan USAII dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Dengan ini katanya, pensijilan berganda itu dapat memastikan pelajar menerima akreditasi di peringkat antarabangsa dan nasional memandangkan kurikulum itu dibangunkan Majlis AI Global USAII dan pakar akademik tempatan, selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), yang menjadi dokumen menilai kompetensi pekerja mahir di Malaysia.
Menurutnya, program AI seumpama itu akan menjadi penyumbang utama kepada matlamat Malaysia untuk menjadi hab AI global menjelang tahun 2030, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Nasional AI.
"Program ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran masa depan, memastikan kesediaan untuk memenuhi tuntutan ekonomi digital dan industri yang dipacu AI yang semakin berkembang," ujarnya.
Menurut Indeks Kecerdasan Buatan Global (Global AI Index) yang diterbitkan pada 28 Jun 2023 oleh Tortoise Media, Malaysia menduduki tempat ke-44 dari 62 negara dengan skor keseluruhan 19.6 sementara manakala China dan Singapura menduduki tempat kedua dan ketiga dengan skor masing-masing 61.5 dan 50.