'Kecekapan berbahasa Inggeris penting kepada pelajar' - Pakar
Nabilah Khaleeda
Disember 1, 2023 15:04 MYT
Disember 1, 2023 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Kecekapan berbahasa Inggeris adalah sangat penting terutama dalam kalangan pelajar, mengambil kira ia merupakan bahasa perantara (lingua franca) global ketika ini.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengajaran dan pembelajaran bahasa berkenaan di sekolah bertujuan mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi cabaran global.
"Hal ini sejajar dengan usul Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, yang menekankan mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dipertingkatkan mulai tahun depan, selain mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.
"Kita berharap ekonomi dan kemajuan negara dapat ditingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi melalui penguasaan bahasa Inggeris sejak di peringkat persekolahan," katanya.
Mengulas lanjut, katanya hanya kira-kira 50 peratus guru bahasa Inggeris di Malaysia mempunyai kecekapan yang mencukupi untuk mengajar subjek tersebut.
“Lebih kurang 10 tahun yang lalu, 65 peratus guru di Malaysia mengalami kekurangan kecekapan dalam Bahasa Inggeris.
“Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan kemudiannya melancarkan program latihan khas yang melibatkan penceramah asli dari British Council untuk melatih guru-guru Malaysia," kata Sanghi.
Jelas beliau, inisiatif ini membawa kepada hasil yang mencorakkan dan memberikan impak positif kepada guru-guru serta pelajar.
Katanya, kejayaan ini membuktikan bahawa usaha untuk meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru Malaysia dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, Sanghi menegaskan, perkara lebih penting adalah kebolehan berfikir secara kritikal dan kemahiran kolaboratif yang boleh diajar dalam mana-mana bahasa kepada pelajar.
"Ini membuka ruang untuk pertimbangan bahawa, fokus sepatutnya diberikan kepada pembangunan kemahiran asas ini tanpa mengira bahasa pengajaran," katanya.