Kecekalan Raja Permaisuri Agong inspirasi penubuhan TAAF

Noraniza Kamsani
Julai 25, 2019 11:42 MYT
TAFF mempunyai keupayaan kewangan bagi membantu pasangan suami isteri yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan zuriat pertama mereka.
Kesukaran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dalam mendapatkan waris takhta negeri Pahang telah memberi ilham kepada baginda untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Malah Raja Permaisuri Agong juga pernah mengalami keguguran sebanyak enam kali, selain perlu menjalani 16 proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan in vitro (IVF) sertaSuntikan intrasitoplasmik sperma (ICSI).
Namun itu sama sekali tidak menjadikan Tunku Azizah berputus asa, sebaliknya baginda Tuanku lebih kuat dan cekal walaupun perlu menunggu kira-kira 10 tahun untuk melahirkan cahaya mata pertama, iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Menurut kenalan rapat Tunku Azizah, Datuk Hamimah Abdul Karim, segala dugaan yang dilalui oleh baginda selama 10 tahun untuk mendapatkan waris takhta negeri Pahang, menjadikan Raja Permaisuri Agong seorang yang lebih cekal.
"Usaha baginda yang tidak pernah berputus asa dalam mendapatkan zuriat itu wajar dijadikan sumber inspirasi dan contoh buat wanita di negara ini. Malah baginda sentiasa senyum dan ceria walaupun perlu melalui pelbagai dugaan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
BACA: #AgongKita: 'I am a kampung boy' - YDP Agong
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung TAFF berkata, yayasan yang ditubuhkan pada Ogos 2004 itu sudah menaja kira-kira 500 pasangan suami isteri pelbagai kaum yang turut melalui dugaan sama.
Jelas beliau, TAFF mempunyai keupayaan kewangan bagi membantu pasangan suami isteri yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan zuriat pertama mereka.
"Kita bantu tanpa mengira kaum, agama dan negeri dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.
"Sehingga kini juga seramai 116 bayi sudah dilahirkan hasil bantuan daripada TAFF. Malah Tuanku sendiri gelar bayi ini sebagai cucu baginda," katanya yang telah dikurniakan gelaran Dang Perwara Raja Permaisuri Agong.
Menceritakan pengalaman kira-kira 20 tahun mengenali Raja Permaisuri Agong, Hamimah berkata, Tuanku merupakan seorang anak raja yang tinggi ilmu agamanya selain pandai mengaji al-Quran.
"Banyak doa yang Tuanku amalkan. Dalam majlis-majlis khatam al-Quran, baginda yang akan memimpin. Baginda juga selalu mengingatkan supaya tidak menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan semata-semata demi kebahagian hidup di dunia dan akhirat," katanya.
Hamimah berkata, Tuanku Raja Permaisuri Agong juga seorang yang sangat teliti, mengenali rakan-rakannya dengan baik, bahkan mampu mengingati kesukaan rakan-rakan.
"Sebagaimana baginda sayang dan rapat dengan rakyat, begitulah dengan kami yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aktiviti Tuanku Raja Permaisuri Agong," katanya.
Tunku Azizah mendirikan rumah tangga dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac 1986 dan dikurniakan sembilan cahaya mata.
BACA: Saya dan Tuanku umpama satu roh, dua jasad - Rizalman Ibrahim

WAWANCARA eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).
Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dan sebagai meraikan istiadat kebesaran diraja Melayu ini, kami di Astro AWANI juga akan menyiarkan pelbagai Laporan Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mulai 26 Julai ini.
#bayi #Fertiliti #Pahang #perubatan #Raja Permaisuri Agong #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #wanita #Yayasan Fertiliti Tunku Azizah
;