Kecederaan Zulfarhan sebabkan kematiannya tidak dapat dibuktikan - Hakim
Bernama
Februari 28, 2025 18:45 MYT
Februari 28, 2025 18:45 MYT
Zulfarhan telah meninggal dunia 10 hari selepas kejadian mencederakan berlaku antara 21 dan 22 Mei 2017.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menyebabkan kematiannya tidak dapat dibuktikan di sebalik keraguan yang munasabah.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak dapat dibuktikan menyebabkan kematian di sebalik keraguan yang munasabah, dan mengetepikan hukuman mati terhadap enam bekas penuntut UPNM.
- Hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam bekas penuntut UPNM dikekalkan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan, dengan hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Jun 2017.
- Keterangan pakar menunjukkan bahawa kecederaan yang dialami oleh Zulfarhan tidak semestinya menyebabkan kematian, dan ini menjadi faktor utama dalam keputusan mahkamah.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim ketika membuat keputusan itu berkata tambahan pula, Zulfarhan telah meninggal dunia 10 hari selepas kejadian mencederakan berlaku antara 21 dan 22 Mei 2017.
"Sehubungan itu, berdasarkan analisis keseluruhan keterangan, kami dapati elemen kecederaan yang dialami oleh mangsa pada lazimnya menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan di sebalik keraguan yang munasabah.
"Justeru itu, peruntukan di bawah Seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan tidak dapat disandarkan oleh pihak pendakwaan dalam kes ini untuk membuktikan kesalahan membunuh," katanya dan kemudiannya mengetepikan hukuman mati dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam bekas penuntut UPNM kerana menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.
Enam bekas penuntut berkenaan ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Hakim Hasnah, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata bagi kesalahan membunuh, elemen penting ialah sama ada kecederaan-kecederaan yang dialami oleh mangsa (Zulfarhan) pada lazimnya menyebabkan kematian.
Beliau berkata walaupun perkara itu adalah dapatan fakta yang perlu dibuat oleh hakim bicara, keterangan pakar perlu disandarkan dan diberi pertimbangan.
"Dalam kes ini, antara keterangan penting adalah keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Dr Salmah Arshad yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.
"Berdasarkan keterangan SP6, beliau bersetuju dengan pertanyaan pihak pendakwa raya bahawa luka bakar atau kesan lecur pada mangsa, lazimnya menyebabkan kematian. Dalam membuat sesuatu dapatan fakta, mahkamah perlu meneliti keseluruhan keterangan SP6 dan keterangan lain berkaitan bagi menentukan isu kecederaan yang pada lazimnya menyebabkan kematian ini telah dibuktikan atau sebaliknya," kata hakim itu.
Bagaimanapun, Hakim Hasnah berkata SP6 telah mengubah pernyataannya ketika disoal peguam semasa perbicaraan dengan menyatakan kesan kebakaran 30 dan 50 peratus itu boleh menyebabkan kematian tetapi tidak semestinya mati.
"Ketika disoal balas oleh peguam, saksi juga bersetuju bahawa luka bakar tahap tiga itu tidak secara automatik mengakibatkan kematian. Keterangan SP6 semasa disoal balas peguam tidak disentuh langsung oleh timbalan pendakwa raya semasa pemeriksaan semula.
"Berhubung perkara ini, pertimbangan perlu diberikan kepada keterangan pakar iaitu saksi pembelaan ke-19 (SD19) Dr Rohayu Shahar Adnan, yang antara lain mempertikaian dapatan SP6," katanya dan menambah sabitan terhadap perayu-perayu bagi kesalahan membunuh dan persubahatan membunuh (dihadapi Abdoul Hakeem) tidak dapat dipertahankan.
Sementara itu, Hakim Hasnah berkata keterangan bahawa perayu pertama hingga kelima dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menekap seterika wap kepada badan mangsa (Zulfarhan) dan memukul mangsa telah dibuktikan dengan keterangan daripada SP24 Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah (bekas penuntut UPNM).
"Hakim bicara juga menegaskan bahawa SP24 dan SP25 ialah saksi yang boleh dipercayai (credible). Kami di peringkat rayuan ini tidak mempunyai sebab untuk mengganggu dapatan dan fakta hakim bicara yang mempunyai kelebihan audio dan visual saksi-saksi di samping meneliti kelakuan mereka.
"Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan perayu-perayu bagi kesalahan membunuh diketepikan dan terdapat keterangan mencukupi bagi kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Oleh itu mahkamah mengembalikan hukuman penjara 18 tahun dari tarikh tangkap (1 Jun 2017) di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan," katanya.
Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Nov 2021 menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam penuntut itu selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Bekas penuntut berkenaan, kini berusia 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Datuk Seri M. Ramachelvam yang dibantu Ameerul Radzi Azlan mewakili Muhammad Afif berkata anak guamnya dan perayu-perayu lain hanya akan menjalani baki hukuman penjara selama empat tahun.
"Keluarga anak guam saya telah meminta maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku," kata Ramachelvam.
Pada prosiding hari ini, perayu-perayu lain turut diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus dan Datuk Hazman Ahmad manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, ahli keluarga kesemua perayu dilihat menangis sambil memeluk anak mereka yang berada di kandang tertuduh.
-- BERNAMA