Kecederaan leher punca kematian remaja dibaling pisau

Sinar Harian
Oktober 20, 2022 19:06 MYT
Remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan kematian remaja lelaki berusia 16 tahun di Kampung Ulu Pulu Pulai, Ulu Choh pada Rabu, berpunca akibat kecederaan di leher.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin, balingan pisau yang biasa digunakan untuk memotong sayur itu telah mengenai bahagian ateri atau pembuluh darah di leher sebelah kanan dan mengakibatkan pendarahan yang agak banyak.
“Kita tak kata balingan itu tepat, tetapi balingan pisau itu telah mengenai bahagian ateri mangsa hingga menyebabkan pendarahan yang banyak.
“Pendarahan itu disyaki menyebabkan mangsa kehilangan banyak darah menjadi punca kematian,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
BACA: Remaja perempuan baling pisau pada adik sehingga maut, direman 6 hari
BACA: Kes baling pisau hingga maut: Adik-beradik harapan keluarga, taat agama
Pada Rabu, seorang remaja perempuan bertindak membaling pisau ke arah adik lelakinya akibat bergaduh berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Remaja perempuan berkenaan juga dikatakan telah diejak ketika memasuki rumah hingga menyebabkannya bertindak membaling pisau berkenaan ke arah mangsa.
Sebelum itu, remaja perempuan berkenaan telah ditahan reman selama enam hari mulai Khamis, bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Sementara itu Rahmat berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan. -- Sinar Harian
#baling pisau #berebut tempat duduk #kecederaan di leher #remaja perempuan ditahan
;