Kebun Kerang Melaka sasar pendaratan 1,600 tan metrik setahun
Bernama
Julai 30, 2022 13:32 MYT
Julai 30, 2022 13:32 MYT
MELAKA: Program Kebun Kerang Melaka di sekitar perairan Merlimau hingga Sebatu dilihat berpotensi menjadikan negeri berkenaan antara pengeluar utama ternakan itu dengan sasaran 1,600 tan metrik pendaratan setahun.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata ternakan kerang itu akan melibatkan 16 lot dengan keluasan 330 hektar di kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA), membabitkan sasaran 330 peserta.
"Kawasan laut yang berlumpur di sini juga dilihat sangat bersesuaian untuk ternakan kerang selain ciri-cirinya yang berkualiti dan mempunyai kepadatan isi yang baik.
"Sebagai permulaan kami melancarkan program ini di tiga lot dan setiap satunya berkeluasan 21 hektar melibatkan 30 peserta," katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Merlimau di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran Kebun Kerang Melaka dan turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon.
Ahmad berkata selepas empat bulan, Jabatan Perikanan negeri akan menilai hasil kerang tersebut dan seterusnya akan memperluas ternakan itu di lot-lot lain.
Beliau berkata hasil ternakan kerang itu juga dianggarkan mampu meraih RM10.6 juta menjelang hujung tahun 2030 dengan anggaran pendapatan bagi setiap peserta sekitar RM2,600 hingga RM3,500 sebulan.
"Ternakan kerang ini juga dilihat mampu menambah pendapatan nelayan kerana hasilnya yang lumayan dan di Melaka, kerang dewasa dijual secara borong dengan harga RM10 hingga RM12 bagi saiz 25mm ke bawah dan RM14 hingga RM16 untuk kerang bersaiz 25mm ke atas," katanya.
-- BERNAMA