Kebun diserang gajah liar, pekebun dakwa kerugian lebih RM100,000
Aiman Hakeem Awazmin
Mac 24, 2022 14:07 MYT
Mac 24, 2022 14:07 MYT
KOTA TINGGI: Pengurusan agro pelancongan, Desaru Fruit Farm di Bandar Penawar, di sini bimbang diancam serangan gajah liar yang dikatakan kerap berulang sejak pertengahan Februari lalu
Pengarah urusannya, Steve Er Wee Heng berkata, terbaharu adalah pada Ahad lalu apabila pelbagai tanaman di kebun yang berkeluasan 56 hektar itu musnah selepas diceroboh sekumpulan gajah liar.
Jelas Steve, pihaknya mengalami kerugian sehingga RM100,000 susulan kemusnahan yang dialami.
Menurutnya, antara tanaman yang dirosakkan termasuk pisang nipah, kelapa pandan, jambu air dan pokok buah abiu.
Ancaman serangan gajah itu kebiasaannya berlaku pada waktu malam dengan keadaan yang gelap, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Gajah cari pokok pisang nipah sahaja. kemudian buah abiu yang bermusim, buah yang besar dimakan. Nangka sekurang-kurangnya beratus biji dimakan.
"Kali terakhir Ahad lalu sebab pada waktu itu saya pergi kerja di Johor Bahru dan bila pulang saya melihat staf saya berada di tepi jalan. Saya ingatkan ada kes berlaku rupanya meraka nampak gajah,” katanya ketika ditemui di sini.
Steve menambah, pekerjanya pernah terserempak dengan kumpulan gajah selain menemui kesan kerosakan, sisa buah-buahan, tapak kaki sebesar 30 sentimeter dan najis haiwan itu.
Susulan itu, satu laporan polis berkenaan perkara itu dibuat di Balai Polis Bandar Penawar pada 24 Mac lalu, di samping itu aduan turut disalurkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Pertanian Daerah Kota Tinggi.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Noorfarahin Sahari berkata pihaknya kini sedang meneliti laporan yang diterima daripada pihak pengusaha.
Selain daripada Desaru Fruit Farm, pihaknya juga ada menerima laporan pengusaha Bio Desaru mengenai kerosakan tanaman juga dipercayai disebabkan gajah.
“Untuk aduan ini biasanya kita akan masukkan di dalam Surat Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri bagi pihak jawatankuasa menilai tentang kerosakan akibat serangan gajah tersebut,” katanya.