Kebun Bandar Taylor's mahu terajui transformasi sistem makanan negara
Israr Khalid
Ogos 11, 2023 18:04 MYT
Ogos 11, 2023 18:04 MYT
MENURUT Indeks Keselamatan Makanan Global 2022 oleh Economist Impact, Malaysia berada di tangga ke-41 di peringkat global dan kedua di Asia Tenggara.
Banyak barang makanan asas tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk memenuhi keperluan seluruh populasi dan negara amat bergantung kepada hasil import dari negara lain hingga terpaksa membelanjakan sehingga RM482.8 bilion untuk tujuan itu dalam tempoh 10 tahun yang lalu, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Solusinya - menghasilkan makanan sendiri, dan ia tidak sepatutnya diletakkan pada bahu kerajaan semata-mata tetapi wajar diusahakan sendiri oleh anggota masyarakat.
Atas kesedaran itu, Taylor’s University membangunkan Kebun Bandar Taylor’s (Taylor’s Urban Farm, TUF), bermatlamat untuk menginspirasikan komuniti supaya menjadi penggerak perubahan dalam sistem makanan negara didorong penerapan teknologi dan inovasi.
Segalanya bermula ketika dunia dibadai pandemik COVID-19, apabila rantaian bekalan makanan terjejas teruk dan menyebabkan harga makanan melonjak dek kebergantungan kepada hasil import.
Pada masa sama, orang ramai juga menjadi lebih sedar tentang makanan yang sihat yang dihasilkan secara mampan, organik dan dalam persekitaran yang rendah jejak karbon.
“Kami fikir, memandangkan minat anak-anak muda terhadap perkebunan bandar juga semakin meningkat, mengapa tidak kami bina kebun bandar sendiri di Taylor’s,” kata Timbalan Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Akademik Taylor’s University, Profesor Dr. Pradeep Nair.
Berkeluasan 3,500 meter persegi yang dibina di tempat parkir kampus pinggiran tasiknya di Subang Jaya, Kebun Bandar Taylor’s menempatkan lebih 20 jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan herba dengan tiga sistem penanaman: menara menegak, kotak tanaman, dan autopot.
Ia yang menggunakan sistem pengairan tertutup yang mengurangkan kebergantungan kepada input luar, malah mengukuhkan kitaran nutrien di mana airnya dikitar semula - bermakna tiada air yang dibuang dan dibazirkan, seperti mana yang berlaku dalam sistem penanaman tradisional.
Kebun ini beroperasi dengan pengaplikasian sistem Internet Kebendaan (IoT) Nido One yang cekap, membolehkan faktor-faktor dalam sistem penanaman hidroponik seperti tahap pH air, larutan nutrien, serta parameter iklim seperti suhu dan kelembapan dapat dikawal dan dipantau secara automatik.
Hasilnya, kebun ini mampu mengeluarkan empat tan tanaman yang segar, organik dan bebas racun serangga perosak dalam tempoh setahun.
“80 peratus daripada hasil kebun ini digunakan oleh dapur kulinari kami menerusi konsep “kebun-ke-meja,” jadi pelajar dari Institut Kulinari Taylor’s dan Pusat Pengajian Kajian Makanan dan Gastronomi terlibat secara langsung dalam menanam serta menuai sayur-sayuran mereka sendiri.
“Para pelajar biosains pula menjalankan pelbagai kajian untuk meningkatkan keberhasilan tanaman, dan kami juga merancang untuk membuka sistem langganan di mana para kakitangan universiti dan juga masyarakat awam dapat membeli sayur-sayuran, buah-buahan dan herba daripada kebun kami.”
Di samping misi besarnya untuk mentransformasi sistem makanan negara menjadi lebih sihat, selamat dan terjamin, inisiatif ini juga bermatlamat untuk mendidik masyarakat tentang peluang menjadikan aktiviti agrikultur satu sumber yang dapat menjana pendapatan tambahan malah satu karier yang lumayan.
Maka diwujudkan Minor dalam Pertanian Bandar Mampan di Taylor’s yang boleh diambil oleh semua pelajar dari pelbagai disiplin pengajian - menjadikannya universiti swasta pertama di Malaysia yang menawarkan pilihan pengajian tersebut, di mana pelajar akan diajar beberapa modul dalam subjek seperti pembangunan tanaman, penghasilan dan pengurusan menerusi sistem hidroponik, agrikultur mampan, dan pengautomasian agrikultur serta pengurusan data.
Menurut Profesor Pradeep, inisiatif ini tidak hanya eksklusif kepada pelajar dan staf Taylor’s University sahaja kerana mereka merancang untuk membawanya kepada masyarakat yang lebih luas, khususnya anak muda daripada kelompok B40 dan M40, di masa hadapan.
Dengan langkah proaktif dimulakan oleh Taylor’s serta institusi-institusi pengajian tinggi lain, Profesor Pradeep berharap agensi-agensi kerajaan dan badan-badan korporat akan terpanggil untuk bergandingan bagi menjayakan misi besar ini, demi kesejahteraan bersama.
“Dengan membina sistem agrikultur dan makanan yang mampan untuk menjamin sekuriti dan keselamatan makanan, kita dapat memainkan peranan dalam memperbaiki keseluruhan kemampanan dan nutrisi bekalan makanan Malaysia menjelang 2030,” tegasnya.
Kebun Bandar Taylor’s adalah sebahagian daripada Makmal Impak Sekuriti Makanan dan Nutrisi yang bermatlamat untuk menamatkan kebuluran, ketidakjaminan keselamatan makanan, dan kekurangan zat.
Secara keseluruhannya, Taylor’s telah memperkenalkan 13 Makmal Impak di mana para akademia, pelajar dan rakan kerjasama luar berkolaborasi untuk membentuk penyelesaian yang menyumbang kepada kesejahteraan bersama, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Inisiatif penggerak transformasi sistem makanan negara
*Artikel ini adalah kandungan berbayar