Kebocoran paip dipercayai antara punca tanah mendap di Tanjung Tualang

Abd Razak Mohd Ali
September 29, 2024 10:30 MYT
Bavani melihat kawasan tanah mendap di hadapan sebuah rumah di Tanjung Tualang. - Foto Astro AWANI
BATU GAJAH: Selain hujan lebat, kebocoran paip air dipercayai menyumbang kepada kejadian tanah mendap yang menjejaskan empat buah rumah di Taman Teja, Tanjung Tualang, dekat sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar V Bavani berkata, kedudukan rumah yang berhampiran cerun turut menyumbang kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Lembaga Air Perak dan Indah Water Konsortium.
“Taman ini sudah berusia lebih 30 tahun dan paip air pun sudah lama, mungkin ada yang berkarat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.
Menurutnya, pihak MDBG akan membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan kecemasan bagi kerja-kerja baik pulih kawasan berkenaan.
“Kerja-kerja baik pulih akan dibuat secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian lain yang mungkin berlaku kerana sekarang musim hujan,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Chai Chuk Yen, 50 tahun, berkata, ketika kejadian, dia berada seorang diri kerana suaminya pergi ke Ipoh.
“Saya keluar rumah selepas jiran panggil, ketika itu hujan lebat dan saya lihat depan rumah jiran sudah runtuh,” katanya.
Peniaga nasi lemak itu berharap kerja-kerja baik pulih dapat dijalankan dengan segera kerana bimbang keselamatan nyawa dan harta benda.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.18 malam.
Menurutnya, insiden melibatkan mendapan tanah yang berlaku di hadapan empat buah rumah di Lorong Teja Utama, taman tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian, rumah nombor 11 didiami pasangan suami isteri dan rumah nombor 9 didiami seorang wanita dewasa, manakala rumah nombor 15 dan 17 tidak berpenghuni.
Pasangan suami isteri yang terlibat telah berpindah ke rumah ibu mereka manakala wanita dewasa masih tinggal di rumahnya, namun pihak polis menasihatnya supaya menggunakan pintu belakang sahaja.
#mendapan tanah #hujan lebat #paip air bocor #Tanjung Tualang
;