Kebocoran paip bawah tanah punca tumpahan minyak di klia2 - DCA

Shuhami Zabri
Oktober 28, 2015 08:46 MYT
AZHARUDDIN: DCA akan memantau situasi berkenaan dari dekat bagi menentukan siasatan dan kerja pembaikan yang dijalankan, benar-benar mengikuti prosedur keselamatan. - Gambar Fail
Siasatan awal terhadap tumpahan minyak di kawasan meletak pesawat Q10 dan Q12 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Ahad lalu, menunjukkan kemungkinan ia disebabkan kebocoran saluran paip bawah tanah.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dalam satu kenyataan berkata, MA Sepang, anak syarikat Malaysia Airport Holdings Bhd, dan Kuala Lumpur Aviation Fuelling System (KAFS) sedang menjalankan siasatan selanjutnya serta melakukan kerja pembaikan pada saluran paip yang bocor itu.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata DCA akan memantau situasi berkenaan dari dekat bagi menentukan siasatan dan kerja pembaikan yang dijalankan, benar-benar mengikuti prosedur keselamatan.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, saluran paip minyak bagi petak Q2, Q4, Q6, Q8, Q10, Q12 dan Q14 ditutup untuk kerja penyucian dan pemeriksaan oleh KAFS MA Sepang selepas insiden itu," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kini hanya petak Q10 dan Q12 masih ditutup, sementara petak yang lain beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata DCA telah menghantar pasukan pemeriksa bagi menentukan langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
#AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #KLIA2 #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #MA Sepang
;