Kebocoran minyak di ruang meletak pesawat klia2 bukan disebabkan mendapan tanah - MAHB

Bernama
Oktober 27, 2015 00:00 MYT
Menurut MAHB, operasi lapangan terbang di klia2 tidak terjejas kerana mempunyai ruang meletak pesawat yang mencukupi bagi menampung operasi pesawat setiap hari.
Kebocoran minyak di ruang meletak pesawat Q10 dan Q12 Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di Sepang, bukan disebabkan oleh mendapan tanah seperti dilaporkan dalam media, kata Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
MAHB dalam kenyataan pada Isnin berkata, menurut Kuala Lumpur Aviation Fueling Systems (KAFS) yang bertanggungjawab bagi pengurusan, operasi dan penyelenggaraan saluran paip, saluran paip itu yang terletak di atas tapak khas, tidak terjejas akibat mendapan tanah tersebut.
"KAFS sedang menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca kejadian. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) juga telah diberi taklimat mengenai insiden berkenaan," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata operasi lapangan terbang di klia2 tidak terjejas kerana mempunyai ruang meletak pesawat yang mencukupi bagi menampung operasi pesawat setiap hari.
"Malaysia Airports akan memberi maklumat lengkap berhubung insiden itu kepada syarikat penerbangan bagi memastikan operasi mereka tidak terjejas," kata kenyataan itu.
#Kebocoran minyak #KLIA2 #MAHB #mendapan tanah #Q10 #Q12 #Sepang