Kebocoran maklumat siasatan, 13 anggota PDRM disiasat

Hakim Rahman
September 17, 2017 14:46 MYT
SAC Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan telah dimulakan sejak semalam tetapi setakat ini, tiada tangkapan dilakukan. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan 13 anggotanya berhubung dakwaan kebocoran maklumat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ifftifaqiyah baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan yang antara lain melibatkan rakaman percakapan, telah dimulakan sejak semalam.
"Mereka disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menafikan pihak polis yang membocorkan maklumat berhubung siasatan kes melibatkan pusat tahfiz berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendakwa, maklumat dan video itu disebarkan oleh agensi kerajaan lain.
Susulan kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru tahfiz pada awal pagi Khamis lalu, maklumat berkaitan tujuh suspek yang ditahan polis tersebar secara viral di media sosial sebelum ia diumumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh pada satu sidang media semalam.
#Ahmad Zahid Hamidi #kebocoran maklumat #keterangan #PDRM #polis #Rusdi Mat Isa