Kebocoran maklumat di Edisi Siasat: 'Kami tak dapat sahkan kesahihan' - Peguam

Umavathi Ramayah
Julai 26, 2024 09:09 MYT
Fahmi Abd Moin memaklumkan pihaknya baru sahaja menerima gambar bedah siasat kanak-kanak itu pada Jumaat. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum menerima sebarang maklum balas daripada polis berhubung kebocoran gambar dan beberapa butiran yang didakwa ada kaitan dengan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat, baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Kebocoran Gambar dan Butiran: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum menerima maklum balas daripada polis berhubung kebocoran gambar dan butiran yang dikatakan ada kaitan dengan siasatan kematian kanak-kanak autistik itu. Gambar-gambar ini tersebar dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat.
  • Laporan Polis: Peguam pasangan itu telah membuat laporan polis berkaitan dengan cerita yang dibuat oleh Edisi Siasat. Namun, hingga kini, mereka belum menerima maklum balas daripada pihak polis mengenai siasatan tersebut. Mereka juga baru menerima gambar bedah siasat kanak-kanak itu pada Jumaat.
  • Kesahihan Gambar: Fahmi Abd Moin akan berbincang dengan anak guam dan keluarganya untuk membuat laporan kedua berkaitan dengan gambar-gambar yang tular. Mereka perlu meneliti sama ada gambar yang tersebar dalam aplikasi itu sahih atau tidak.

Peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin turut memaklumkan pihaknya baru sahaja menerima gambar bedah siasat kanak-kanak itu pada Jumaat.
"Kami pernah membuat laporan polis berkaitan 'cerita' yang dibuat Edisi Siasat itu, dan kemudian tular gambar-gambar yang dikatakan gambar arwah Zyan Rayyan.
"Bagi (dakwaan) pertama, kami sudah membuat laporan polis namun sehingga hari ini kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak polis, sama ada (kertas) siasatan dibuka atau siasatan dipanjangkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Bagi gambar-gambar yang ditularkan pada siri kedua, kami tidak membuat sebarang laporan kerana kami baru sahaja menerima gambar bedah siasat pada hari ini (Jumaat)," katanya kepada pemberita di luar mahkamah di sini, pada Jumaat.
Fahmi memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anak guam dan keluarganya sama ada untuk membuat laporan kedua berkaitan gambar-gambar yang tular itu atau sebaliknya.
"Kami perlu meneliti sama ada gambar yang ditularkan dalam aplikasi itu sahih atau tidak.
"Saya tak boleh nak bagi tahu hari ini (berhubung kesahihan gambar)," tambahnya.
14 Jun lalu, keluarga Zayn Rayyan membuat laporan polis berhubung kandungan siasatan yang tular di akaun Telegram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini memaklumkan polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran beberapa gambar yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan kematian Zayn Rayyan di media sosial.
Siasatan itu katanya dijalankan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
#Zayn Rayyan #bedah siasat #edisi siasat #Polis Diraja Malaysia