Kebocoran gas: Tujuh tong klorin dipindahkan - bomba

Astro Awani
September 30, 2017 10:31 MYT
Anggota polis membuat siasatan di sebuah rumah kosong yang menjadi tempat pembuangan tujuh tong gas klorin yang bocor di Kampung Tambak Paya, 29 Sept, 2017. fotoBERNAMA / fail
Tujuh tong silinder berisi gas klorin yang mengakibatkan beberapa penduduk dan anggota bomba mengalami sesak nafas dalam kejadian di Kampung Tambak Paya di sini sejak petang Khamis, telah berjaya dibawa keluar dari kampung berkenaan lewat malam tadi.
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba Dan Penyelamat (Operasi) Negeri, Kamarulzaman Mohd Din berkata, kerja-kerja menggali sebuah tong silinder yang ditanam apabila bocor semalam turut berjaya dilakukan.
Begitu juga dengan kerja-kerja mengangkat kesemua tujuh tong silinder gas yang berisi 7,000 kilogram cecair kimia jenis klorin itu.
Tong-tong berkenaan dibawa keluar untuk dihantar semula kepada pemiliknya iaitu sebuah kilang mengedar bahan kimia di Rawang, Selangor.
Kata Kamarulzaman, pihak bomba mendapat bantuan daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh pemilik silinder terbabit untuk kerja-kerja pemindahan.
BACA: Kebocoran gas: Polis panggil syarikat pemilik tong klorin
BACA: Siasat pihak bertanggungjawab kejadian kebocoran gas klorin - Idris
Tong-tong itu dibawa keluar sekitar 10.50 malam tadi dengan diringi lapan kenderaan milik Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) bomba dan kenderaan polis.
Katanya, konvoi turut disertai pasukan Hazmat dan polis bagi memastikan ia selamat sampai ke lokasi dan tidak berlaku sebarang pencemaran.
Sementara itu katanya, kira-kira 250 penduduk kampung yang kini ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tambak Paya telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan pihak bomba mengarahkan semua penduduk kampung berpindah ke pusat pemindahan sekitar 5.30 petang semalam sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga bagi kerja-kerja pengalihan tujuh silinder tersebut.
#bocor #bomba #gas klorin #Kamarulzaman Mohd Din #pusat pemindahan #sesak nafas
;