Kebocoran gas di restoran makanan segera, 3 termasuk pegawai KKM pengsan
Afiezy Azaman
Oktober 10, 2022 11:45 MYT
Oktober 10, 2022 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk dua wanita pengsan selepas terhidu bahan kimia yang bocor dalam sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan 2/1, Pandan Jaya, Ampang, Selangor.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.55 pagi, pada Isnin.
Katanya, anggota bomba dan pasukan dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati terdapat dua wanita pekerja restoran terbabit telah pengsan termasuk seorang lelaki yang merupakan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masuk ke dalam restoran bagi membantu mangsa.
"Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut Norazam, pihak bomba sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan orang ramai memasuki restoran berkenaan.
Siasatan kebocoran gas kimia itu sedang dikenal pasti bagi tindakan lanjut dan kesemua identiti mangsa masih belum diketahui.