Kebocoran di ruang perniagaan runcit di KLIA terkawal - MAHB
Bernama
Oktober 8, 2019 12:30 MYT
Oktober 8, 2019 12:30 MYT
Bahagian bumbung sebuah ruang perniagaan runcit, Flying Emporium, di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kebocoran serius hari ini, disebabkan keadaan cuaca yang melampau.
Syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam catatan twitternya bagaimanapun berkata insiden pada pukul 3.40 petang itu berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira sejam kemudian.
"Pasukan operasi lapangan terbang bertindak dengan pantas menggerakkan petugas dan jentera ke sana untuk menangani keadaan," katanya.
MAHB berkata perkara itu sedang disiasat dan tindakan bagi menambah baik infrastruktur sentiasa dilaksanakan.
"Kami ingin memohon maaf bagi sebarang kesulitan yang timbul terhadap para pelanggan dan rakan niaga kami," menurutnya.
-- BERNAMA