Kebimbangan jadi nyata, suami maut dalam kemalangan ketika bertugas

Bernama
September 8, 2021 19:51 MYT
Aidil maut di lokasi kejadian selepas ambulans dinaiki melanggar bahagian belakang treler yang sedang membelok kanan masuk ke sebuah bengkel. - Gambar hiasan/Freeimages.com
KLUANG: Kebimbangan seorang isteri terhadap keselamatan suami ketika bertugas menjadi nyata, apabila suaminya Aidil Hamidun, 27, maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan sebuah treler di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, malam tadi.
Menurut Syahira Sabar, 27, sejak kemalangan mengorbankan seorang pemandu van KKM ketika bertugas di Johor Bahru pada 18 Ogos lalu, beliau sering terbayang insiden yang sama menimpa suaminya itu, seorang Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam, yang banyak menghabiskan masa di dalam ambulans bagi menghantar pesakit.
Katanya, kali terakhir beliau berbual dengan Aidil adalah pada pagi sebelum kemalangan dan antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan anak, kematian dan amalan bersedekah yang sering mereka lakukan.
"Antara perkara yang saya akan ingati bersama arwah adalah solat berjemaah dan juga makan bersama. Dia seboleh-bolehnya akan tetap makan bersama saya walaupun sibuk dengan tanggungjawabnya.
"Saya menerima panggilan berkaitan kemalangan yang menimpa suami pada jam 8.45 malam tadi yang ketika itu dia sedang menghantar pesakit ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK)," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa Hamidun Jaafar, 60, tidak menyangka kemalangan berkenaan telah meragut nyawa anaknya pada usia muda namun beliau reda dengan ketentuan Allah itu.
"Aidil merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik, dia sememangnya rapat dengan kami dan menjalankan tanggungjawab yang baik sebagai seorang anak, termasuklah memberi duit belanja bulanan kepada saya," katanya.
Sementara itu, jenazah Aidil selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, kira-kira jam 1.30 tengah hari dengan disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan setugas dari KKM.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng dalam kenyataannya berkata dalam kemalangan jam 8.20 malam itu, Aidil maut di lokasi kejadian selepas ambulans dinaiki melanggar bahagian belakang treler berkenaan yang sedang membelok kanan masuk ke sebuah bengkel.
Dalam kejadian itu, katanya, pemandu ambulans dan dua pesakit wanita berusia 24 dan 18 tahun serta waris mereka berusia 59 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di HEBHK manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
#kemalangan #KKM #Klinik kesihatan #HEBHK #treler #Ambulans #Aidil Hamidun #Syahira Sabar
;