Keberkesanan penggunaan kod bar bantu elak kecurian motosikal
Nuradilla Noorazam
Januari 30, 2017 22:16 MYT
Januari 30, 2017 22:16 MYT
Idea yang lebih kreatif diperlukan untuk memastikan kes kecurian motosikal dalam negara dapat dikurangkan.
Ketua Pengarang Careta.my, Hazeri Samsuri berkata negara-negara luar telah sekian lama menggunakan pelbagai mekanisma untuk menangani kecurian motosikal.
Antara inisiatif yang diambil adalah dengan menggunakan khidmat syarikat insurans untuk memastikan pengguna lebih mementingkan aspek keselamatan kenderaan mereka.
Beliau yang mengulas rancangan polis Kedah untuk meluaskan penggunaan pelekat kod bar berkata masih perlu banyak perincian dalam pelaksanaannya.
Walau bagaimanapun beliau menganggap rancangan itu lebih baik dari idea mengharam kemasukan motosikal ke ibu kota.
"Seperti biasa kita harus kaji rasional dan nasional perkara ini sebab setiap agensi kerajaan mempunyai pendekatan berbeza mengenai sesuatu perkara dan bila ada perkra baru mungkin boleh tertindih," katanya ketika diwawancara Astro AWANI malam ini.
Malah beliau berkata pelaksanaan pelekat kod bar mempunyai mekanisma yang sama dengan pendaftaran nombor plat yang boleh memberi maklumat sama mengenai kenderaan dan pemandu.
"Pada saya apa gunanya ada nombor plat tetapi tidak dipakai untuk mengesan. Kod bar juga menggunakan cara yang sama.
"Mungkin kod bar ada gunanya untuk mengesan kenderaan dari negara luar seperti Thailand kerana kita tidak mempunyai maklumat nombor plat mereka tetapi dari segi maklumat pengguna, saman, nombor enjin dan kenderaan, semua maklumat itu ada bersama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjaga pendaftaran nombor plat. Pihak polis boleh mendapatkan maklumat dari mereka," katanya lagi.
Polis Kedah hari ini mengumumkan rancangan menggunakan pelekat kod bar di seluruh negeri itu setelah projek perintis di langkawi berjaya menurunkan kes kecurian motosikal sebanyak 27 peratus.
Kod bar berkenaan akan mengandungi maklumat pemilik dan individu yang dibenarkan menunggang motosikal tersebut.